Sila log masuk terlebih dahulu.

Gol kedua City punca Norwich tewas

Sebahagian pemain Norwich City kelihatan kecewa dengan kekalahan kepada Manchester City di Carrow Road pada Ahad. - Foto Focus Images Ltd
Sebahagian pemain Norwich City kelihatan kecewa dengan kekalahan kepada Manchester City di Carrow Road pada Ahad. - Foto Focus Images Ltd
A
A
A

PENGENDALI Norwich, Dean Smith menyifatkan gol kedua jaringan Phil Foden pada minit ke-70 dilihat sebagai punca yang menyebabkan skuad kendaliannya itu tumpas 0-4 kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Carrow Road, pada Ahad.

Menurut Smith, benteng pertahanan The Canaries telah melakukan kesilapan besar apabila lewat mengeluarkan bola hingga melepasi garisan gol untuk gol kedua City.

“Gol kedua itu ternyata mengubah perjalanan perlawanan sehingga ‘merentap’ semangat juang kesebelasan pemain pada keseluruhan perlawanan.

“Saya kecewa dengan cara gol kedua itu dijaringkan. City sememangnya pasukan yang hebat, tetapi kami telah melakukan kesilapan besar kerana lewat mengeluarkan bola hasil percubaan jentera serangan lawan.

“Selain itu saya juga menyifatkan sepakan penalti tidak wajar diberikan kepada City kerana insiden berkenaan hanyalah melibatkan pertembungan dua pemain dalam usaha mengekang asakan jentera serangan, tetapi keputusan sudah dibuat dan tidak ada apa yang boleh kami lakukan ketika ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, City membuka jaringan menerusi rembatan Raheem Sterling pada minit ke-31 sebelum percubaan Foden menghasilkan gol kedua buat The Citizens apabila bola melepasi garisan gol.

Setelah itu, Sterling menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-70 sebelum menjaringkan gol keempat pada minit ke-90 apabila mudah menolak masuk setelah sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Norwich City, Angus Gunn.

Sementara itu Smith berkata, skuad kendaliannya itu sewajarnya menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan menerusi percubaan pemain pertahanan Grant Hanley dan penyerang, Teemu Pukki yang gagal menepati sasaran.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun menurutnya, skuad kendaliannya itu akan kembali bangkit melakar kemenangan selepas ini dalam usaha berada pada kedudukan lebih baik dan keluar dari zon penyingkiran.

“Kami perlu memenangi lebih banyak perlawanan selepas ini dan apa yang perlu kami lakukan ketika ini adalah kekal fokus dengan apa yang kami lakukan untuk keluar dari zon penyingkiran.

“Biarpun sukar, tetapi kami perlu lakukannya dan kami perlu mengatasi pencabar terdekat seperti Newcastle, Burnley dan Brentford untuk merealisasikannya,” katanya.