Covid-19: Jepun pertimbang longgar sekatan sempadan

Fumio Kishida (tengah) mendengar penerangan pegawai di pusat kuarantin di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo. - Foto AP
Fumio Kishida (tengah) mendengar penerangan pegawai di pusat kuarantin di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo. - Foto AP
A
A
A

JEPUN mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan sempadan yang didakwa terlalu ketat sehingga memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Fumio Kishida berkata, beliau akan membuat keputusan berdasarkan penilaian saintifik varian Omicron, tahap jangkitan dalam dan luar negara, serta perintah kuarantin di negara lain.

"Saya sedar bahawa terdapat pelbagai pandangan berhubung sekatan sempadan.

"Namun, pada dasarnya saya berpandangan, kita perlu mengambil kira pengetahuan saintifik berhubung varian termasuk Omicron, perubahan dalam situasi jangkitan dalam dan luar negara, serta keadaan sekatan sempadan di negara luar.

"Kemudian, kita boleh meneruskan pertimbangan untuk kelonggaran (kawalan sempadan)," katanya di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan tempoh masa bagi keputusan tersebut.

Ketika ini, kebanyakan kawasan di Jepun masih di bawah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada Jumaat, Jepun merekodkan hampir 100,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, termasuk 18,660 di Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Sekatan sempadan yang berkuat kuasa ketika ini dijadualkan tamat pada hujung Februari.

Sekatan sempadan negara itu antara yang paling ketat dikawal, dengan hanya warga Jepun dan pemastautin tetap dibenarkan masuk.

Ia sekali gus menimbulkan kekecewaan ratusan ribu pelajar antarabangsa yang terkesan akibat sekatan tersebut, sehingga berkumpul di luar pejabat Kedutaan Jepun di serata dunia. - Awani