Kemalangan bas: Empat pelajar USIM semakin pulih

Kejadian kemalangan yang membabitkan pelajar USIM pada Selasa lalu. - Foto Sumber media sosial
Kejadian kemalangan yang membabitkan pelajar USIM pada Selasa lalu. - Foto Sumber media sosial
A
A
A

NILAI - Kecederaan yang dialami empat pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan pada Selasa lalu kini semakin pulih.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada hari kejadian dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada hari yang sama.

"Baki kesemua pelajar Tamhidi yang terlibat berusia 18 tahun itu telah diambil oleh keluarga masing-masing untuk berehat di rumah dan diberikan cuti khas oleh pihak universiti sehingga Ahad, kecuali tiga pelajar memilih untuk berehat di kolej kediaman.

"USIM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan terus memantau keadaan semasa pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut dan urusan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan universiti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Jelasnya, tindakan lanjut akan diambil selepas mendapat laporan penuh daripada pihak berkuasa dan pihak universiti amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan keselamatan serta kesembuhan pelajar yang terlibat.

Keadaan pelajar selepas terbabit dalam insiden kemalangan itu pada Selasa lalu. - Foto Sumber media sosial
Keadaan pelajar selepas terbabit dalam insiden kemalangan itu pada Selasa lalu. - Foto Sumber media sosial

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa pelajar berkenaan dan berharap agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

"Kita telah membuat beberapa tindakan susulan seperti mengadakan kerjasama erat dengan pihak polis untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

" Perbincangan lanjut bersama dengan pihak pengurusan universiti telah diadakan bagi perlaksanaan tindakan penambahbaikan jangka sederhana dan panjang. Selain itu, kami juga telah menghentikan sementara perkhidmatan bas berkenaan bermula Rabu lalu sehingga satu tarikh yang diberitahu kelak," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat pelajar perempuan USIM cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dalam satu kenyataannya berkata, akibat kemalangan, mangsa iaitu pemandu bas dan empat lagi penumpang mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke HTJS untuk menerima rawatan.

" Sementara itu, 12 penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa ke USIM. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.