Laluan berlumpur, bomba tumpang orang awam ke lokasi kemalangan maut

Operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian hadapan lori dilakukan dengan bantuan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian di Luasung Jalan Imbak Canyon, Kalabakan, Tawau.
Operasi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian hadapan lori dilakukan dengan bantuan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian di Luasung Jalan Imbak Canyon, Kalabakan, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Sepasukan anggota bomba terpaksa menumpang kenderaan orang awam sejauh 50 kilometer selepas jentera mereka tidak dapat melepasi laluan berlumpur.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan ke operasi mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan dalam kejadian di Luasung Jalan Imbak Canyon, Kalabakan, dekat sini, pada Jumaat.

Mangsa kemalangan Jamaludin Raga, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat kecederaan parah selepas tersepit di bahagian hadapan lori 10 tan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.05 petang dan seramai sembilan anggota bersama tiga jentera serta lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan bergegas ke lokasi sejauh 84 kilometer.

"Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas sendiri dan terbalik di bahu jalan serta terdapat seorang mangsa yang tersepit.

"Jentera bomba mengalami kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana keadaan jalan yang berlumpur dan sempit. Sementara menunggu bantuan kenderaan pacuan empat roda bomba tiba, anggota terpaksa mengambil inisiatif menumpang kenderaan pacuan empat roda orang awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Julius turut dimaklumkan bahawa tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan rangkaian telefon bimbit di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan bomba bersama PBS Kalabakan dapat mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas tetapi disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi tamat jam 7.35 malam.