Asnaf jadi pengasuh terlatih

MAIPk sedia peruntukan latih asnaf jadi pengasuh

Kesemua peserta kursus menunjukkan sijil yang diterima pada Majlis Penutupan Kursus Asuhan Permata dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Dewan TT, TIC, di sini pada Jumaat.
Kesemua peserta kursus menunjukkan sijil yang diterima pada Majlis Penutupan Kursus Asuhan Permata dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Dewan TT, TIC, di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Golongan asnaf diberikan peluang mendapatkan kemahiran menjadi pengasuh terlatih melalui Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dilaksanakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, inisiatif dengan kerjasama Taj International College (TIC) melibatkan 30 asnaf di seluruh Perak.

Menurutnya, sebanyak RM195,570 peruntukan disediakan merangkumi yuran pengajian, yuran peperiksaan, kit pembelajaran, perlindungan takaful dan elaun bulanan.

"Program ini bertujuan melahirkan pekerja berkemahiran khususnya belia asnaf yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik untuk membina kerjaya yang lebih baik dan keluar daripada kemiskinan.

"Ia juga memberi pengiktirafan melalui pensijilan yang diterima oleh mereka yang sedang bekerja dan mempunyai pengalaman dalam bidang pengasuhan kanak-kanak," katanya kepada pemberita sempena Majlis Penutupan Kursus Asuhan Permata dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Dewan TT, TIC, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kursus lima bulan itu menjamin pelatih ditempatkan dalam industri pekerjaan sebagai pengasuh, pembantu guru, penyelia atau pengusaha tadika.

Artikel Berkaitan:

Siti Nur Ain Syahirah (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Ain Farhana yang mengikuti Kursus Asuhan Permata dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di TIC, di sini.
Siti Nur Ain Syahirah (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Ain Farhana yang mengikuti Kursus Asuhan Permata dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di TIC, di sini.

Sementara itu, CEO TIC, Tina Tajuddin berkata, latihan dan sijil yang diberikan kepada peserta memberi peluang kepada mereka untuk memberi perkhidmatan mengasuh kanak-kanak di rumah sendiri.

"Kita lihat banyak taska-taska yang beroperasi di rumah dan ada dalam kalangan asnaf ini berkhidmat sebagai pengasuh kanak-kanak.

"Usaha ini bukan sahaja membantu asnaf keluar daripada kemiskinan tetapi menjadikan mereka pengasuh berkemahiran walaupun beroperasi di rumah," katanya.

Seorang peserta yang ditemui, Siti Nur Ain Syahirah Johari, 30, berkata, kursus yang disertai sangat memberi manfaat mengenai pendidikan awal kanak-kanak.

Menurutnya, pengalaman menguruskan rumah anak yatim ketika ini memberi peluang beliau menjadi usahawan dalam bidang perkhidmatan asuhan kanak-kanak.

Siti Nur Ain Syahirah dan kakaknya, Siti Nur Ain Farhana Johari, 35, mempunyai impian untuk membuka sendiri pusat jagaan kanak-kanak atau taska pada masa akan datang.

"Kami akan berusaha mendapatkan dana daripada MAIPk bagi merealisasikan impian memiliki taska sendiri," katanya