Dokumen Roger Ng di luar negara, pendakwaan perlu masa dilengkapkan

A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs International, Roger Ng Chong Hwa yang didakwa atas empat tuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-nota Terjamin anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$6.5 bilion memerlukan masa untuk melengkapkan dokumen, kerana kebanyakannya berada di luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih belum dapat melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan kes itu, walaupun hari ini ditetapkan sebutan kes bagi serahan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah.

“Ini kerana kebanyakan dokumen-dokumen terlibat berada di luar negara dan kami telah memohon di bawah Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk negara seperti United Kingdom (UK), Singapura dan Hong Kong memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, Zaki Asyraf berkata setakat ini pendakwaan masih belum mendapat apa-apa jawapan daripada negara-negara tersebut.

Namun katanya, sebuah firma pelaburan di Singapura yang terlibat dalam kes ini bersetuju memberikan kerjasama dan memberikan dokumen dengan pertuduhan ini, tetapi firma tersebut hanya akan berbuat demikian bulan hadapan.

Oleh itu beliau memohon tarikh 24 Jun 2019 untuk sebutan bagi memberi lebih banyak masa bagi pendakwaan mendapatkan dokumen dan tarikh itu juga ditetapkan oleh Mahkamah Majistret di sini dalam satu lagi kes melibatkan tiga entiti Goldman Sachs.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng, 47, bagaimanapun tidak bersetuju kerana ia terlalu lama untuk anak guamnya.

“Tempoh ektradisi Roger Ng adalah selama 90 hari dan sekiranya tarikh 24 Jun dibenarkan, kemungkinan anak guam saya akan diektradisi ke Amerika Syarikat. Saya tidak bersetuju tempoh tiga bulan itu kerana ia terlalu panjang, walaupun pendakwaan menyatakan mereka perlu mendapatkan dokumen-dokumen dari luar negara,” katanya dan memohon tarikh 15 April untuk sebutan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 April untuk pengurusan kes.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aaron Abhilash Paul Chelliah.

Pada 19 Disember tahun lepas, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-nota Terjamin anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$6.5 bilion dengan meninggalkan fakta-fakta material dan membuat penyataan tidak benar. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia