Polis kesan saksi kes penunggang maut digilis treler

Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan di Jalan Sungai Buloh-Kepong.
Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah treler selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan di Jalan Sungai Buloh-Kepong.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan saksi kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal dan sebuah treler di Jalan Sungai Buloh-Kepong, berhampiran jejambat Damansara Damai menghala Kepong, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Ex5 hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar jam 8 pagi.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan tersebut pada jam 8.23 pagi.

"Mangsa hilang kawalan dan terjatuh di tengah jalan lalu digilis oleh tayar belakang sebuah treler.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kemalangan supaya tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011 32311232 untuk membantu siasatan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mangsa, Danial Imran Kamarolzaman didapati tersepit di bahagian tayar belakang kontena berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis dilaporkan berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk membawa keluar mangsa menggunakan peralatan ‘air lifting bag’ dan bantuan excavator.