Majlis Konvokesyen Ke-24 Institut Koperasi Malaysia

No Image Caption
A
A
A

Kolej iCOOP iaitu institusi pengajian tinggi swasta milik penuh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang telah beroperasi sebagai IPTS sejak Julai 2015.

Kolej ini menawarkan program peringkat diploma dalam jurusan Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Pentadbiran untuk lepasan SPM dan juga bagi yang sedang bekerja.

Khamis lalu, Perasmian dan Pengisytiharan Majlis Konvokesyen Institut Koperasi Malaysia - Kolej iCOOP kali ke-24, diadakan dan berjalan dalam suasana norma baharu apabila hanya tetamu yang telah lengkap dua dos vaksin dan tidak bergejala sahaja dibenarkan hadir.

Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar itu berlangsung di Auditorium Dato’ Abdul Majid Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan dihadiri kira-kira 450 jemputan yang terdiri daripada tetamu kehormat, para pegawai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Agensi, kakitangan IKMa dan Kolej iCOOP, ibu bapa serta 151 graduan.

No Image Caption

Konvokesyen kali Ke-24 ini menyaksikan seramai 112 graduan Diploma Pengurusan Koperasi, 30 graduan Diploma Keusahawanan Koperasi, lima graduan Diploma Perakaunan dan empat graduan Diploma Pengurusan Pentadbiran dianugerahkan diploma masing-masing.

Mereka merupakan pelajar-pelajar iCOOP bagi sesi pengajian 2016 hingga 2019 namun majlis penganugerahan diploma mereka tertangguh ekoran pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada konvokesyen kali ini, Mohd Yuzazmeer Yusni telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik kerana berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan PNGK 3.72 serta penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Seramai 30 graduan yang mendapat PNGK 3.50 ke atas menerima Anugerah Graduan Cemerlang, manakala 46 orang lagi graduan adalah penerima Biasiswa Pendidikan Institut Koperasi Malaysia, Biasiswa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Yayasan Cerdik, Tajaan Angkasa dan Tajaan Bank Rakyat dengan jumlah sebanyak RM566,555.

No Image Caption

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan penganugerahan bersejarah kakitangan Angkasa yang juga penerima tajaan Angkasa, Noriah Mohamed dan anaknya, Emir Izz Mohd Zain. Pasangan anak beranak ini merupakan pelajar Diploma Pengurusan Koperasi dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Noh menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada IKMa yang sepanjang 65 tahun kewujudannya telah berjaya menyempurnakan amanah dalam memberi peluang pendidikan kepada generasi belia dalam bidang pengurusan koperasi hingga berjaya melahirkan seramai 1,365 orang graduan.

Lebih membanggakan apabila kajian menunjukkan lebih 80 peratus graduan Kolej iCOOP mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Beliau turut memaklumkan bahawa kebolehpasaran graduan Kolej iCOOP mencapai sehingga 84 peratus dan ini sekali gus menunjukkan jumlah yang memberangsangkan.

No Image Caption

Sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025, sektor koperasi bakal menyumbang sebanyak lima peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

MEDAC menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan pembangunan modal insan di negara ini melalui agenda Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Oleh itu, usaha Kolej iCOOP ini dilihat sangat signifikan dengan hasrat MEDAC untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam sektor koperasi di Malaysia.

Hadir pada majlis bersejarah itu, Timbalan Menteri MEDAC, Muslimin Mohamad; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad; Pendaftar kolej iCOOP, Nurul Najwa Jatarona dan wakilwakil Gerakan koperasi serta ahli-ahli senat.

APA KATA PEMIMPIN

Tan Sri Noh Omar
Tan Sri Noh Omar

Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Saya penuh yakin pengurniaan diploma ini menjadi kebanggaan, kebolehpasaran graduan juga perlu diambil kira kerana ia memberi peluang kepada graduan untuk bekerja. Justeru, Institut Koperasi Malaysia menerusi Kolej iCOOP sentiasa menaik taraf program dan kurikulum yang dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan graduan yang dilahirkan mampu memasuki pasaran kerja dengan penuh keilmuan dan mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.”

Datuk Dr Rosli
Datuk Dr Rosli

Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia.

“Syabas kepada semua graduan IKMa-Kolej iCOOP yang bertungkus lumus sepanjang lebih dua tahun bagi memastikan menggenggam segulung diploma pada hari ini. Pengorbanan yang telah mereka lakukan membuahkan hasil, diharapkan segala ilmu yang dipelajari mampu memberikan nilai tambah dan persediaan kepada para graduan dalam menempuhi alam pekerjaan. Berjalan sampai ke batas, belajar sampai ke pulau. Kalau pandai meniti buih, selamat badan sampai ke seberang.”

Datuk Mohd Ali
Datuk Mohd Ali

Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia.

“Sebagai graduan dan alumni Kolej iCOOP yang akan menjadi duta kepada gerakan koperasi, saya mengharapkan agar alumni Kolej iCOOP dapat menjadi perintis utama dalam memajukan gerakan koperasi ke arah yang lebih berdaya saing. Seiring dengan membudayakan aplikasi IR4.0 relevan dengan keperluan masa kini agar hasrat untuk melahirkan lebih ramai pelapis profesional dalam sektor ini tercapai. Tahniah dan selamat maju jaya semua graduan dan selamat menempuh kehidupan seterusnya.”