Jangkitan Covid-19 melebihi 20,000 kes

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 20,939 kes jangkitan Covid-19 pada Jumaat berbanding 19,090 kes pada Khamis.

Ia sekali gus menunjukkan peningkatan melebihi jangkaan KKM sebelum ini yang mana memberitahu kes tersebut akan mencecah sehingga 15,000 kes susulan gelombang Omicron melanda negara.

Kali terakhir negara merekodkan jumlah jangkitan melebihi 20,000 adalah pada 10 September iaitu sebanyak 21,176 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti virus berkenaan adalah sebanyak 2,996,361 kes.

“Bagaimanapun daripada jumlah yang dilaporkan hari ini, sebanyak 20,821 kes atau 99.44 peratus merupakan kategori satu dan dua.

“Selebihnya adalah kategori tiga hingga lima iaitu 118 kes ataupun 0.56 peratus," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 121 kes membabitkan 69 rakyat tempatan, manakala 52 lagi adalah warga asing.

"Penularan dalam negara adalah 20,818 yang terdiri daripada 20,315 pesakit tempatan dan 503 warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, KKM turut merekodkan 5,807 kes sembuh sekaligus jumlah kumulatif, 2,841,271 kes.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 155 kes, manakala 80 kes lagi memerlukan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat 20 kluster baharu Covid-19 dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 6,575 kluster.

“Daripada jumlah ini juga, 6,165 kluster telah tamat dan 410 kluster lagi masih aktif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Labuan merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi iaitu (2.17) melebihi Rt negara, 1.51.

Katanya, beberapa negeri lain yang turut mencatatkan nilai Rt tinggi ialah Sarawak (1.90) diikuti Sabah (1.68), Perlis (1.55), Putrajaya (1.45) dan Terengganu (1.42).

“Selain itu, Kedah (1.41), Pulau Pinang (1.39), Johor (1.36), Kelantan (1.36), Pahang (1.30), Selangor (1.29), Negeri Sembilan (1.26), Perak, (1.25), Melaka (1.24) dan Kuala Lumpur (1.23),” katanya.

Pada 11 Februari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 20,939 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,996,361 kes.

Drp kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

•118 kes (0.56%) kategori 3, 4 & 5;

•20,821 kes (99.44% kategori 1 & 2.

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) February 11, 2022