MMA Kelantan saran ibu bapa jayakan PICKids

Dr Tuan Zamani (kiri) mewakili MMA Kelantan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada program Misi Bantuan Sukarelawan Kemanusian Mangsa Banjir Siri 2/2022 di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Khamis.
Dr Tuan Zamani (kiri) mewakili MMA Kelantan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada program Misi Bantuan Sukarelawan Kemanusian Mangsa Banjir Siri 2/2022 di Kampung Tersang, Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Kelantan menyarankan ibu bapa di negeri ini menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) yang akan bermula Ahad ini.

Naib Pengerusi MMA Kelantan, Dr Tuan Zamani Amir Tuan Zakaria berkata, PICKids merupakan antara ikhtiar perlindungan daripada jangkitan virus yang serius terhadap anak-anak.

Menurutnya, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga masa depan anak-anak yang belum diketahui nasib mereka jika dijangkiti Covid-19.

"Sebagai contoh, kesan jangka panjang Covid-19 pada paru-paru kanak-kanak...adakah mudah dijangkiti kencing manis, sakit jantung atau darah tinggi. Kita tidak pasti kesannya selepas terkena jangkitan kerana perkara ini masih baru," katanya semasa ditemui pemberita pada program Misi Bantuan Sukarelawan Kemanusiaan Mangsa Banjir Siri 2/2022 di Kampung Tersang, di sini pada Khamis.

Pada majlis tersebut seramai 60 penduduk yang terjejas banjir menerima bantuan.

Menurutnya, langkah terbaik ketika ini ialah dengan memberi perlindungan kepada kanak-kanak menerusi suntikan vaksin.

Beliau berkata, peluang mendapat vaksin ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan kesihatan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Dr Tuan Zamani berkata, semua vaksin yang disuntik ini telah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan terbukti berkesan dari segi saintifiknya.

"Jadi ibu bapa tidak perlu bimbang dan saya menyeru kepada mereka supaya mendaftar dan menjayakan PICKids ini," katanya.