PBM bertanding dua kerusi pada PRN Johor

Zakaria
Zakaria
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) memutuskan meletakkan calon untuk bertanding di dua kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac nanti.

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari 2022.

“PRN Johor adalah medan terbaik untuk kami memperkenalkan agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda dan memperkasakan peranan wanita.

“Selain itu, enam tunjang tersebut melibatkan pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.

“Kami berharap akan dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti-parti politik lain yang bertanding dalam PRN pada kali ini dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Negeri Johor Darul Takzim,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Naib Presiden Muda PBM, Saiful Bahari Sahari menyatakan bahawa mereka tidak menolak pelawaan jika diberi peluang menampilkan calon daripada parti baharu itu untuk bertanding di PRN Johor.

Ujarnya, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin sebagai pengenalan untuk membuktikan kualiti ahli mereka.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal iaitu Parti Pekerja Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Parti berkenaan diketuai Ahli Parlimen Julau (Sarawak), Larry Sng Wei Shien sebagai Presiden dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya (Selangor), Haniza Mohamed Talha sebagai Timbalan Presiden.