Hati-hati dapatkan perkhidmatan perubatan estetik: KKM

KKM menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik. Gambar hiasan
KKM menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati apabila mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik.

Pengarah Bahagian Amalan KKM, Dr Mohd Azman Yacob berkata, perkhidmatan perubatan estetik hanya boleh diberikan oleh pengamal perubatan berdaftar yang bertauliah di premis yang berdaftar atau dilesenkan di bawah KKM.

"Hanya pengamal perubatan berdaftar yang telah ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan prosedur-prosedur perubatan estetik seperti pembedahan plastik (termasuk rhinoplasty, alarplasty, liposuction, kelopak mata blepharoplasty dan sebagainya), suntikan Botox dan Filler, Laser, High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) dan lain-lain lagi.

"Pengamal perubatan yang ditauliahkan LCP ini disenaraikan di dalam Daftar Kebangsaan (National Registry of Registered Medical Practitioner Practising Aesthetic Medical Practice) yang boleh dicapai melalui pautan https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2118," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semua pengamal perubatan berdaftar ini hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perubatan estetik di premis yang berdaftar atau dilesenkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelakkan daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan estetik terutama prosedur-prosedur invasif yang ditawarkan di rumah, hotel, spa dan salun kecantikan atau premis lain yang meragukan.

"Ini kerana prosedur ini berpotensi untuk menyebabkan komplikasi kesihatan, kecacatan serta kematian kepada pelanggan jika dikendalikan oleh individu yang tidak berkelayakan.

"Prosedur perubatan estetik juga mempunyai senarai kontraindikasi yang hanya boleh dikenal pasti oleh pengamal perubatan sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

KKM juga akan terus memantau dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas individu-individu yang melakukan kesalahan undang-undang dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini, dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat seperti Majlis Perubatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Sebarang aduan berkenaan perkhidmatan perubatan estetik boleh disalurkan kepada amp@moh.gov.my atau ckaps.aduan@moh.gov.my," katanya.