Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kekurangan minat belian. - Foto 123RF
Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kekurangan minat belian. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan kekurangan minat belian menjelang data mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat Malaysia yang akan dikeluarkan pada Jumaat, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1840/1870 berbanding dolar AS daripada 4.1825/1850 pada Rabu.

Penganalisis itu berkata, pelabur berada dalam sentimen berhati-hati berikutan lonjakan kes harian Covid-19 yang telah mempengaruhi pergerakan ringgit.

Pada Rabu, dilaporkan bahawa jumlah kes Covid-19 negara meningkat kepada 17,134 kes baharu daripada 13,944 kes dicatatkan pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan pergerakan di Wall Street malam Rabu, ringgit Malaysia boleh meningkat pada Khamis.

"Ekuiti penanda aras seperti Standard and Poor's 500 serta Nasdaq, masing-masing naik 1.45 peratus dan 2.08 peratus malam pada Rabu berikutan laporan pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan daripada Disney dan beberapa syarikat teknologi lain.

"Sementara itu, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun susut sebanyak dua mata asas kepada 1.94 peratus walaupun Indeks Harga Pengguna pada Januari dijangka melebihi tujuh peratus tahun ke tahun,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya ringgit boleh berada antara RM4.17 dan RM4.18 berbanding dolar AS pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6203/6229 daripada 3.6250/6275 pada Rabu, naik berbanding pound kepada 5.6622/6663 daripada 5.6765/6799 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7769/7803 daripada 4.7785/7814.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1173/1197 daripada 3.1148/1169 sebelum ini. - Bernama