AGM Persatuan Olahraga Selangor tak sah

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Olahraga Selangor yang diadakan pada 12 Disember lalu, didapati tidak teratur, kata Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof.

Beliau berkata, selepas pihaknya melakukan semakan terhadap laporan dan dokumen berkaitan AGM itu, didapati proses pelaksanaan dan perjalanan mesyuarat berkenaan adalah bercanggah, atau tidak mematuhi perlembagaan persatuan itu.

"Memandangkan AGM itu tidak teratur, maka keputusan yang dibuat ketika AGM itu tak terpakai dan tidak dapat disahkan,” katanya kepada Bernama.

Pada AGM itu, atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim dipilih sebagai presiden, selepas kem itu menyingkirkan Datuk S M Muthu daripada jawatan berkenaan pada Oktober lalu atas dakwaan penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap Persatuan Olahraga Selangor.

Ibrahim berkata, kini terdapat dua jawatankuasa yang mengakui sebagai jawatankuasa yang sah, tetapi kedua-duanya ada melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan perlembagaan persatuan.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua kem dalam masa terdekat dan syorkan beberapa langkah kepada mereka, supaya kemelut ini dapat diselesaikan secara baik,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai kemelut Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), beliau berkata, pihaknya tiada masalah dengan pelaksanaan AGM badan induk sepak takraw itu pada hujung minggu ini.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan entiti baharu perlu diberi pertimbangan sewajarnya, susulan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) tidak menerima PSM sebagai ahlinya, selepas menyingkirkannya pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ASTAF tidak mahu terima PSM, kita perlu ada entiti baharu untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Perlu diketahui bahawa keputusan ASTAF sama ada mahu terima atau tidak menerima PSM adalah di luar bidang kuasa kita,” ujarnya. - Bernama