PSM jangan salahkan PJS!

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (Gambar kanan: Mohd Sadek)
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (Gambar kanan: Mohd Sadek)
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak boleh menyalahkan tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang sedia mempertimbangkan untuk membenarkan penubuhan sebuah entiti baharu menggantikan badan induk tersebut di peringkat antarabangsa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustafa berkata, PJS bertindak atas kapasiti sebagai entiti yang dipertanggungjawabkan kerajaan untuk mengawal bukannya untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Kita tidak boleh salahkan PJS dalam isu mempertimbangkan penubuhan entiti baharu bagi menggantikan PSM bagi mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam isu ini kita semua kena realistik tindakan PJS bukan bersifat individu, sentimen tertentu, tapi lebih kepada memastikan pembangunan sukan negara diterajui sesebuah persatuan berjalan lancar seperti terkandung dalam Akta Sukan.

“Isu yang melanda PSM ini juga bukan hanya melibatkan persatuan, tapi kesannya turut terpalit kepada pegawai, pengadil, jurulatih dan pemain yang sekali gus menjejaskan pembangunan sukan itu pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan PJS akan mempertimbangkan meluluskan entiti yang akan mewakili sukan sepak takraw negara di peringkat antarabangsa susulan kemelut yang dihadapi PSM dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) ketika ini.

Namun, tindakan PJS itu mengundang perasaan kurang senang beberapa pemimpin PSM yang mendakwa keputusan untuk mempertimbangkan pembentukan entiti baharu sebagai satu tindakan terburu-buru.

“Secara jujur isu ini tidak akan berlaku sekiranya PSM menghormati ASTAF sebagai badan induk tertinggi sepak takraw Asia selepas dikenakan hukuman.

Artikel Berkaitan:

“Ibarat seorang ayah mengenakan hukuman terhadap anaknya, ayah mana tak sayang anak walaupun sering nakal, namun seandainya tahap disiplin anak sampai tahap menderhaka, hati ayah mana yang tak remuk biarpun selama ini telah banyak bersabar dan beralah.

“Ya, saya tidak nafikan PSM sedang berusaha melakukan pembaharuan untuk kembali menyertai semula keluarga besar ASTAF, namun beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh temeh sebelum ini itulah sebenarnya membuatkan ASTAF menjeruk rasa.

“Satu lagi isu melibatkan PSM dan ASTAF ini telah lama berlarutan, sepatutnya sebaik saja disingkirkan dari badan induk tersebut usaha tambah baik seharusnya dipercepatkan oleh PSM itu sendiri,” ujarnya.