PSM terkejut tindakan PJS

Sinar Harian sebelum ini melaporkan PJS sedia mempertimbangkan entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan PSM di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. (Gambar kanan) Mohd Sumali.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan PJS sedia mempertimbangkan entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan PSM di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. (Gambar kanan) Mohd Sumali.
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyifatkan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mempertimbangkan entiti baharu bagi mewakili sukan sepak takraw negara ini menggantikan badan induk itu di peringkat antarabangsa sebagai sesuatu yang mengejutkan dan menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli gabungan PSM.

Malah menurut Naib Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, PJS seharusnya lebih memahami situasi mutakhir penyusunan semula PSM yang telah beberapa kali mengadakan pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang turut melibatkan G11 pada tahun lalu.

"Pada waktu tersebut, PJS telah membuat pendirian bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan entiti baru bagi menggantikan PSM kerana kemelut yang melanda PSM boleh diselesaikan dengan baik melalui rundingan beberapa pihak.

"Pihak PSM juga menyambut baik saranan serta pandangan yang diberikan oleh pihak PJS termasuk meminda Perlembagaan yang telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada Oktober tahun lalu," kata Sumali pada Ahad.

Sukan Sinar pada Sabtu melaporkan PJS sedia mempertimbangkan entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan PSM di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Tambah Sumali lagi, PSM terkilan kerana PJS mengeluarkan kenyataan sedemikian seminggu sebelum Mesyuarat Agung PSM (AGM) yang akan diadakan pada 12 Februari depan.

Sebaliknya jelasnya, PJS sewajarnya menunggu sehingga AGM selesai diadakan untuk meneliti secara lebih terperinci keadaan serta kedudukan terkini PSM.

"Saya berharap PJS yang dipertanggungjawabkan membantu persatuan-persatuan sukan di negara ini menjadi pihak pendamai dan memahami denyut nadi majoriti ahli-ahli gabungan dalam PSM yang masih setia dan mahu PSM yang dah sedia ada ini diperkasakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat yakin penubuhan entiti baharu sepak takraw yang hanya terdiri dari sebahagian kecil ahli gabungan, tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini malahan akan terus berpanjangan sekiranya diluluskan.

"PSM berjanji segala kemelut dan salah faham yang berlaku sebelum ini termasuk dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan dapat diselesaikan dengan baik dan fokus PSM dalam memastikan pembangunan sukan sepak takraw negara ini diteruskan dengan baik," ujarnya yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan (Perswip).