PJS masih teliti jalan terbaik selesai isu

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PESURUHJAYA Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof sedang mempertimbangkan jalan penyelesaian ideal sebagai usaha meletakkan titik noktah pada kemelut antara dua kem dalam Persatuan Olahraga Selangor (POS).

Mengakui kontroversi melanda badan induk olahraga negeri itu suatu yang rumit, Ibrahim berkata, pihaknya yang masih meneliti beberapa 'jalan keluar' terbaik akan mencadangkan tindakan sewajarnya kepada POS sebaik pelaporan berkaitan kemelut itu selesai.

Menurut beliau, antara pilihan tersebut adalah dengan meminta POS supaya mengadakan pemilihan jawatankuasa mereka semula bagi mengelakkan kemelut itu berpanjangan, sehingga boleh menjejaskan perkembangan sukan olahraga di Selangor.

“Perkara ini saya tengah buat pelaporan dan kita akan tentukan kemudian. Dari segi situasi ketika ini, kedua-dua kem yang mengatakan mereka jawatankuasa yang sah, tetapi bila kita semak balik kedua-dua pihak ini ada isu masing-masing.

“Jadi kita tengah melihat apakah yang terbaik sama ada pemilihan semula atau kita semak semula keseluruhan struktur dalam POS. Kita akan mencadangkan satu jalan penyelesaian untuk POS supaya mereka boleh perbetulkan balik struktur jawatankuasa dan juga perlembagaannya,” katanya pada Ahad.

Sebelum ini, pada Oktober tahun lalu beberapa ahli jawatankuasa POS mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan menyingkirkan Datuk SM Muthu daripada jawatan presiden dan menarik balik keahlian seumur hidupnya, berikutan dakwaan berlaku penyelewengan lebih RM100,000 daripada akaun simpanan tetap POS.

POS kemudian mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 12 Disember, yang menyaksikan bekas atlet Wilayah Persekutuan, Norhayati Karim menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden POS, namun ia tidak dihadiri oleh kem Muthu.

Bagaimanapun, sehari kemudian Muthu mendakwa beliau masih lagi presiden POS yang sah sambil menyifatkan AGM itu tidak sah kerana melanggar persetujuan yang dicapai ketika pertemuan bersama PJS sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ibrahim mendapati kedua-dua kem mempunyai kesalahan tersendiri yang membolehkan apa-apa keputusan dibuat mereka terdahulu, dipertikaikan.

“Dari sudut jawatankuasa baharu yang dipilih berdasarkan AGM tempoh hari, bila AGM itu tidak teratur jadi segala keputusannya boleh dianggap sebagai tidak sah, maknanya pemilihan itu tidak boleh disahkan, selain ada keahlian dalam jawatankuasa itu pun bukan ahli gabungan.

“Sementara bagi kem yang satu lagi, bila kita semak balik keputusan-keputusan yang sebelum ini, jawatankuasa induk pun terdiri daripada mereka yang bukan ahli gabungan,” kata Ibrahim. - Bernama