Keberkesanan vaksin kanak-kanak pada tahap 90 peratus

Yahya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-321 bertajuk PICKids: Kenapa Ibu Bapa Tidak Berani? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Yahya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-321 bertajuk PICKids: Kenapa Ibu Bapa Tidak Berani? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tahap keberkesanan vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) adalah pada kadar 90 peratus.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, kadar tersebut berada pada tahap sangat baik dari segi memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada mendapat penyakit teruk disebabkan jangkitan Covid-19.

“Kalau dilihat perbandingan, jika kanak-kanak dijangkiti atau mendapat Covid-19, ada keberangkalian lebih kurang 450 dalam satu juta boleh menyebabkan miokarditis.

“Jadi dengan (kadar) 90 peratus keberkesanan vaksin yang digunakan untuk kanak-kanak ini maka, risiko disebabkan jangkitan Covid-19 yang menyebabkan miokarditis ini dapat diatasi.

“Jadi ia satu jumlah yang sepatutnya memberikan keyakinan kepada ibu bapa mengambil vaksin untuk kanak-kanak ini, yang diformulasikan khusus dan mengikut kesesuaian kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Edisi ke-321 bertajuk PICKids: Kenapa Ibu Bapa Tidak Berani? yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid; Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Dr Mohammad Ali Hassan manakala Khairi Amri bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa yang masih takut dengan kesan sampingan vaksin kepada anak-anak mereka digalakkan untuk membuat penilaian risiko dan pengurusan risiko terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, proses berkenaan boleh dilakukan dengan berjumpa dan meminta nasihat daripada pengamal perubatan di negara ini.

“Kita memang faham keadaan apabila melibatkan anak-anak ini, kita memang agak sensitif dan berjaga-jaga.

“Biar pengamal perubatan membuat penilaian kepada kesihatan anak kita dan seterusnya membuat ‘recommendation’ (cadangan).

“Kita tidak perlu pergi pada hari vaksinasi tersebut. Mungkin boleh dibuat beberapa hari atau seminggu sebelum (anak-anak) mendapatkan vaksin, jadi kita boleh membuat satu keputusan yang lebih jitu, berdasarkan kepada fakta yang sebenar,” ujarnya.