PICKids usaha lindungi kanak-kanak

Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut. Gambar hiasan 123RF
Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MENGHAMPIRI setahun bermulanya program vaksinasi Covid-19 negara, kesan positif pelaksanaan program tersebut dalam membantu negara menangani pandemik merupakan sesuatu yang tidak boleh disangkal.

Selain daripada mengurangkan jumlah kematian dan kemasukan kes Covid-19 di hospital, perluasan vaksinasi yang setakat Selasa mencapai kadar 97.7 peratus populasi dewasa negara juga telah membawa negara sedikit demi sedikit menuju kepada keadaan normal.

Kini, hampir majoriti rakyat Malaysia dapat kembali bergerak agak bebas untuk melakukan rutin kebiasaan mereka sama ada untuk pergi bekerja, berjumpa keluarga secara fizikal, keluar makan bersama rakan dan juga merentas negeri.

Untuk kanak-kanak pula, mereka kini boleh kembali ke sekolah bersama rakan-rakan dan mendapatkan pendidikan secara fizikal daripada guru.

Bagaimanapun, dengan meningkatnya kebebasan pergerakan, ia pastinya pada masa sama turut berpotensi meningkatkan risiko penularan Covid-19 khususnya kepada kumpulan yang belum menerima vaksinasi Covid-19 termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Tambahan pula, kehadiran varian baharu seperti Delta dan Omicron yang boleh menular melalui mereka yang sudah lengkap divaksinasi turut mendedahkan kumpulan tersebut kepada risiko virus berkenaan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun akan mula dilaksanakan pada 3 Februari ini iaitu Khamis.

Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) melalui Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Khas PICKids menegaskan bahawa vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan.

Katanya, perkara itu juga turut disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari lalu.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu memaklumkan seramai 517,107 kanak-kanak berusia dari lima hingga 11 tahun di Malaysia telah didaftarkan di bawah PICKids.

Menurut beliau, rekod data pada Selasa itu merupakan satu tanda permulaan yang baik ke arah memastikan seluruh masyarakat Keluarga Malaysia dilindungi daripada ancaman Covid-19.

Khairy juga berkata, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Beliau sebelum itu juga dilaporkan berkata, antara masalah kesihatan dimaksudkan adalah merangkumi penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, immunosuppression, kencing manis, penyakit ginjal kronik dan penyakit saraf.

Khairy turut menyatakan bahawa program vaksinasi kanak-kanak memerlukan dua suntikan dos dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.

Katanya, berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa yang diberikan antara dua dos itu akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan lebih tinggi serta berpotensi memberikan perlindungan yang lebih lama.

Mengulas lanjut, Khairy pada Selasa turut menyatakan harapannya agar hampir separuh kanak-kanak di Malaysia akan mendapat suntikan vaksin Covid-19 menjelang penghujung Februari ini.

Untuk rekod, kes penularan harian kanak-kanak di Malaysia pernah melonjak sehingga melebihi 3,000 pada sekitar Ogos tahun lalu.

Pada masa sama, sektor pendidikan juga dilaporkan terus menjadi penyumbang utama kluster Covid-19 di Malaysia pada tempoh minggu epidemiologi (ME) ke empat tahun ini iaitu 76.4 peratus daripada keseluruhan kluster dikesan di dalam negara.