SOP pemeriksaan suhu dimansuhkan bermula 11 Februari ini

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk di premis bermula 11 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein langkah dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod 'check-in' di pintu masuk premis masing-masing.

"Namun check in menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa," katanya ketika sidang media khas sempena mesyuarat ke-12 menteri kuartet Covid-19 di Kementerian Pertahanan pada Selasa.

Bagaimanapun, kerajaan mengalu-alukan sekiranya pemilik premis ingin meneruskan pelaksanaan kedua SOP tersebut.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pemansuhan kedua SOP itu adalah langkah ke hadapan yang dilakukan kerajaan untuk membawa negara bergerak ke hadapan dalam usaha mejangani Covid-19.

Katanya, negara kini akan memberikan tumpuan kepada tujuh tonggak yang telah digariskan di bawah pendekatan beralih ke negara ke fasa peralihan ke endemik.

Antara tonggak tersebut ialah pematuhan satu SOP umum dan sembilan garis panduan; sistem amaran dan tindakan dan 'National Testing Strategy'.

Artikel Berkaitan:

Turut dijadikan tonggak adalah amalan TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera); pelaksanaan sistem FTTIS;pembukaan sempadan negara secara berperingkat dan duta pemerkasaan komuniti.

Mengulas mengenai cadangan pembukaan sempadan negara oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melakukan persiapan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih tiada sebarang garis masa yang ditetapkan oleh kerajaan bagi langkah pembukaan sempadan itu.