Polis nafi tidak siasat nahas libatkan anak bekas pengarah Bukit Aman

No Image Caption
A
A
A

SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tidak mengambil tindakan berhubung kemalangan melibatkan anak bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman seperti yang tular di media sosial pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya sebelum ini mengesan satu ciapan tular mendakwa pihaknya tidak menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya berkaitan dakwaan ini, siasatan berhubung kemalangan tersebut telah dijalankan selepas laporan polis diterima.

"Kuasa untuk menutup mana-mana siasatan bukan terletak di bawah bidang kuasa polis, dalam soal ini sangat mustahil sama sekali wujudnya campur tangan daripada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, semua prosedur siasatan berhubung kes berkenaan telah dijalankan menurut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk saringan air kencing dan ujian darah.

"Keputusan saringan air kencing adalah negatif sementara keputusan ujian darah masih belum diperoleh daripada Jabatan Kimia," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai tohmahan berkenaan.

"Siasatan dijalankan seadilnya kepada pihak terlibat berlandaskan peruntukan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Konsep keadilan meliputi hak bagi individu yang menjadi mangsa dan juga individu yang sedang disiasat," katanya.

Pada Isnin, tular satu ciapan di media sosial bahawa polis tidak menjalankan siasatan berhubung satu kes kemalangan jalan raya.

Dakwa ciapan tersebut, tindakan tidak diambil kerana ia melibatkan anak bekas pegawai kanan PDRM.