13,944 kes positif Covid-19 hari ini

Gelombang varian Omicron menyaksikan negara merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 mendadak. Foto hiasan.
Gelombang varian Omicron menyaksikan negara merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 mendadak. Foto hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia merekodkan kes baharu Covid-19 melebihi paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut apabila 13,944 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini berbanding 11,034 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 kini 2,939,198 kes. Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes melepasi 13,000 adalah pada 26 September lepas (13,104).

Menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata, 99.48 peratus atau 13,871 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori Satu dan Dua manakala 73 kes lagi atau 0.52 peratus berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Beliau berkata, Kategori Satu mencatat sebanyak 3,942 kes atau 28.27 peratus; Kategori Dua (9,929 kes atau 71.21 peratus); Kategori Tiga (54 kes atau 0.39 peratus); Kategori Empat (11 kes atau 0.08 peratus) dan Kategori Lima (lapan kes atau 0.05 peratus).

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.32 berbanding 1.27 semalam dengan Sabah dan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.54 diikuti Sarawak 1.48 dan Terengganu 1.36.

Artikel Berkaitan: