'Manfaat PRN Johor, beri gambaran UMNO yang lebih segar'

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO perlu memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai peluang terbaik bagi menonjolkan bakat-bakat kepimpinan baharu untuk memaparkan imej yang lebih segar sekali gus memberi cerminan masa depan parti lebih diyakini.

Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros berkata, usaha itu juga dilihat dapat membantu menepis dakwaan segelintir pihak bahawa UMNO sejak dahulu dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.

Beliau berkata, perkara itu merujuk kepada pihak yang mendakwa kononnya PRN Johor sengaja diadakan bagi memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti.

“Berdasarkan realiti kehendak politik semasa, UMNO tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“UMNO perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan parti sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah efektif dan berkesan dalam membawa perubahan kepada dasar-dasar memberi kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Noor Azleen berkata, perkara itu juga perlu dilakukan UMNO seiring dengan pelaksanaan Undi 18 yang mana menunjukkan parti bersedia mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, peluang ketika PRN haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan parti bukan sahaja dalam berdepan realiti semasa tetapi strategi jangka panjang bagi menghadapi cabaran politik mendatang.

“UMNO wajar membuka peluang kepada bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu dekat kepada keperluan anak muda seperti peluang pekerjaan berkualiti, kemampuan memiliki rumah dan juga beberapa aspek yang menyentuh mengenai kualiti hidup.

Artikel Berkaitan:

“Bakat-bakat baharu dalam UMNO ini juga perlu berperanan untuk membina kredibiliti parti dalam memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal,” katanya.