Farmasi komuniti pandu lalu pertama di Malaysia

Sazrina (tengah) menyampaikan kad pandu lalu kepada Mumtaz sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.
Sazrina (tengah) menyampaikan kad pandu lalu kepada Mumtaz sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Superbig Healthcare menjadi farmasi komuniti yang pertama di negara ini menyediakan konsep pandu lalu, sekali gus mengambil kira penjagaan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Konsep pandu lalu itu diperkenalkan syarikat swasta terbabit bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta menjimatkan masa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid berkata, konsep pandu lalu itu beroperasi sejak 1 November lalu dan semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Buat masa sekarang, kita mempunyai 11 cawangan. Kita menjangkakan dapat membuka 100 buah farmasi dalam tempoh empat tahun dengan sasaran jualan minimum sebanyak RM1 juta setahun untuk setiap cawangan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian farmasi berkenaan di sini pada Khamis.

Perasmian disempurnakan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Dr Wan Sazrina berkata, beliau dan seorang rakan menjalankan perniagaan farmasi komuniti sejak 26 tahun lalu.

Menurutnya, sudah tiba masanya perkhidmatan dinaik taraf mengikut peredaran dan keperluan semasa.

“Konsep baharu ini memberi keselesaan kepada pelanggan yang kini lebih menyukai sistem pandu lalu di premis terpilih, di samping membantu memudahkan orang ramai menjaga SOP terutama yang mempunyai penumpang kanak-kanak atau warga emas. Pelanggan juga tidak perlu memikirkan isu parkir kereta.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, faktor pendorong ialah ketika saya menjaga arwah ibu yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Saya sukar membeli ubat di farmasi berhampiran kerana kekangan tempat letak kereta.

“Sejak itu saya nekad untuk meningkatkan perkhidmatan farmasi dan memperkenalkan konsep pandu lalu serta memastikan lokasi berdekatan dengan HUSM untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan perubatan mereka,” jelas beliau.

Dr Wan Sazrina bagaimanapun berkata, persiapan sistem pandu lalu mengambil masa selama enam bulan kerana mencari peralatan yang sesuai, berkualiti dan vendor yang berpengalaman.