'Kerusi tradisi' dalam BN tidak patut wujud pada PRN Johor

Jefridin
Jefridin
A
A
A

PONTIAN - Istilah 'kerusi tradisi' UMNO, MIC dan MCA tidak wajar digunakan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, BN perlu lebih terbuka mengikut 'selera' pengundi berdasarkan kepada majoriti sesuatu kaum di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jika majoriti di kawasan DUN itu Melayu, sudah tentu kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada UMNO begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina janganlah sesekali diletak calon Melayu.

"Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti- parti kompenen yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Beliau yang juga Senator Dewan Negara berharap pimpinan tertinggi BN tidak terikat isu 'kerusi tradisi' sewaktu membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Johor.

"Presiden UMNO dan komponen parti perlu fikirkan perkara ini, jika tidak diendahkan kehendak rakyat ini, rakyat mempunyai banyak lagi parti politik yang boleh dipilih," katanya.

Sementara itu, Jefridin berharap agar UMNO Bahagian Tanjung Piai diberikan sekurang-kurangnya dua kerusi sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen.

"Setakat ini, UMNO Bahagian Tanjung Piai cuma mempunyai satu kerusi DUN di Kukup. Manakala kerusi DUN Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai merupakan kerusi MCA.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti masyarakat Melayu di Pekan Nanas kini 57 peratus dan Kukup 60 peratus perlu dipandang serius pucuk pimpinan BN sewaktu membuat pertimbangan sebelum sebarang keputusan berhubung parti dan calon yanh diputuskan kelak," katanya.