PDRM nafi keluar amaran sindiket culik, jual organ

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mengeluarkan amaran kepada rakyat Malaysia agar berwaspada berhubung sindiket penculikan yang mensasarkan remaja berusia bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ tertentu untuk dijual sebagaimana tular di media sosial.

Superintenden Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Superintenden Skandaguru Anandan berkata, pihaknya mengesan sebaran mesej berkenaan yang didakwa dikeluarkan daripada pihak 'Gerakan IPK Bukit Aman'.

Beliau menegaskan, tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman.

"Sindiket penculikan tersebut didakwa menggunakan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah van berwarna putih.

"Mesej tersebut juga menyenaraikan harga bagi organ-organ yang dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Skandaguru berkata, pihaknya turut mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti yang didakwa.

"Semakan mendapati mesej palsu tersebut telah tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan berkongsi atau menyebar berita- berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat," katanya.