[VIDEO] 300 ahli Bersatu umum keluar parti sertai Warisan

Sebahagian ahli yang mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Warisan di Pekan Nanas Pontian pada malam Ahad.
Sebahagian ahli yang mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Warisan di Pekan Nanas Pontian pada malam Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Seramai 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Warisan (Warisan) dalam sebuah majlis yang diadakan di Pekan Nanas di sini pada malam Ahad.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tanjung Piai dan lima cawangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang South Malaya, Melayu Raya dan Lubok Sawah.

Hishammuddin Busri yang sebelum itu merupakan Setiausaha Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata, keputusan keluar parti diambil selepas mendapati Bersatu hilang arah tujuan dan tiada masa depan.

"Keputusan keluar parti ini dibuat secara sukarela melibatkan enam ahli jawatankuasa bahagian Bersatu Tanjung Piai, lima PDM melibatkan keseluruhan seramai 300 orang ahli.

"Kami berpandangan hala tuju Bersatu kini sudah tidak selari dengan perjuangan kami dan tiada masa depan," katanya.

Hishamuddin (kanan) menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Junz Wong (kiri) dalam satu majlis ringkas di Pekan Nanas Pontian pada malam Ahad.
Hishamuddin (kanan) menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Junz Wong (kiri) dalam satu majlis ringkas di Pekan Nanas Pontian pada malam Ahad.

Beliau kemudiannya menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dalam satu majlis ringkas yang diadakan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hishammuddin, Warisan dipilih kerana parti itu terbuka untuk semua kaum dan tidak terhad kepada bangsa tertentu.

"Sebenarnya ada juga parti politik lain yang berhubung kami selepas mereka mungkin mengetahui hasrat kami untuk keluar daripada Bersatu.

"Namun, kami berpandangan Warisan lebih sesuai dengan perjuangan kami memandangkan ia bukan parti kepada satu kaum sahaja, tidak seperti parti- parti politik lain yang terdapat di negara ini," katanya.