Bekas ADUN Tiram persoal kenyataan Syed Saddiq

Gopalakrishnan, Syed Saddiq
Gopalakrishnan, Syed Saddiq
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, S Gopalakrishnan mempersoalkan kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwanya tidak mengambil berat kebajikan masyarakat India semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram.

Gopalakrishnan menafikan kenyataan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu yang dilihat mencalar imej dan kredibilitinya.

"Semua orang boleh bercakap apa-apa sahaja, lebih lagi apabila duduk berbual di warung, tetapi apakah bukti untuk dia berkata-kata seperti itu di tempat terbuka," katanya ketika dihubungi pemberita.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Muar itu mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India semasa Kempen Jelajah Mendengar Sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, di pekan Ulu Tiram di sini.

Difahamkan NGO itu mengadu dan membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap Gopalakrishnan yang mendakwa mengabaikan masyarakat India.

Syed Saddiq kemudian memuat naik 'posting' dalam Facebook miliknya mendakwa, komuniti India di Ulu Tiram mengadu, Gopalakrishnan tidak mengambil endah kebajikan rakyat selain bantuan yang sepatutnya dapat tidak diberikan.

Sementara itu, Syed Saddiq menerusi kemas kini Facebook miliknya, memohon maaf kepada PKR dan Gopalakrishnan selain mengakui terkhilaf berkenaan kenyataan sebelum ini.

"Muda tidak sempurna, begitu juga saya. Saya akui 'posting' lawatan saya ke Ulu Tiram telah merendahkan tugas dan tanggungjawab yang dibuat oleh rakan ADUN PKR.

Artikel Berkaitan:

"Sesi melawat dan bertemu rakyat di Ulu Tiram adalah satu proses untuk saya dan Muda belajar lebih banyak soal menjaga rakyat.

"Atas semangat kebersamaan bersama rakan PKR, saya memohon maaf atas kekhilafan yang dibuat," katanya.

Beliau seterusnya meminta semua pihak untuk sentiasa memberi teguran kepada beliau sekiranya perlu kerana banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang masih perlu dilunaskan.

"Teruskan menegur kerja dan ucapan saya. Yang baik itu datang dari yang Maha Esa. Yang khilaf itu saya," katanya.