Faktor Muda lebih penting daripada Syed Saddiq

Syed Saddiq mendengar permasalahan yang disuarakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India semasa Kempen Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, pekan Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Sabtu.
Syed Saddiq mendengar permasalahan yang disuarakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India semasa Kempen Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, pekan Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sama ada beliau bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah sesuatu yang rakyat ingin tahu ketika ini.

Sebaliknya Ahli Parlimen Muar itu berkata, rakyat mahu tahu apa tawaran yang Muda boleh berikan sekiranya menang PRN Johor.

"Ada ura-ura kata Syed Saddiq nak bertanding, 'no' rakyat tak nak dengar sekarang ini (saya) bertanding atau tidak. Rakyat nak dengar apa solusi Muda atau apa khidmat masyarakat yang Muda boleh buat.

"Parti Muda lebih besar daripada Syed Saddiq. Saya nak pastikan apabila Muda sertai PRN ini, ia melangkaui faktor Syed Saddiq dan ia sebenarnya tentang nasib dan kebajikan rakyat, itu isu utama dan hakiki," katanya mengulas spekulasi beliau akan bertanding dalam PRN Johor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bertemu masyarakat setempat dalam Kempen Jelajah Mendengar sempena PRN Johor di Medan Selera Ulu Tiram, pekan Ulu Tiram di sini pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata, ketika ini Muda sedang melakukan jelajah di seluruh Johor, namun mereka tidak menggunakan kempen dengan kaedah dan pendekatan lama seperti memberikan ceramah, arahan dan menghasilkan manifesto yang syok sendiri.

"Tetapi apa yang kita lakukan adalah kita kerah ahli Muda seluruh negara untuk jalankan jelajah ini dengan pergi ke warung, restoran, kedai mamak, rumah ke rumah dan pejabat. Kita nak dengar keluh kesah mereka.

"Tugas mereka bukan untuk memberikan ceramah tetapi dengar masalah mereka. Kita tanya masalah setempat dan apa penyelesaiannya serta lihat apa cadangan untuk politik Malaysia yang boleh diperbaharui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pertemuan secara bersemuka itu katanya, Muda akan lebih memahami denyut nadi rakyat dan kemudian merangka satu solusi menyeluruh bagi menyelesaikan masalah mereka.

Katanya, setakat ini maklum balas yang diterima amat baik sekali menerusi jelajah itu yang dilakukan di kawasan bandar, luar bandar dan separuh bandar, malah pengundi dapat mengenali logo serta kewujudan parti Muda.

"Saya amat berterima kasih kepada ahli Muda kerana kerja keras mereka menerusi jelajah ini. Kebanyakan mereka yang sertai Muda adalah orang baharu yang tiada pengalaman sangat dalam politik.

"Namun mereka mempunyai pengalaman dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain merupakan tokoh masyarakat, tokoh korporat, bekas penjawat awam dan penjawat awam, jadi kita dapat himpunkan mereka semua," katanya.

Sehingga minggu lalu katanya, terdapat antara 74,000 hingga 76,000 ahli Muda berusia 18 hingga 83 tahun dan faktor usia tidak menjadi kriteria parti itu kerana paling penting prinsip, idea, nilai dan kematangan politik yang dibawanya.

"Inilah parti Muda yang sebenarnya, kita tak nak angkat orang muda tetapi akhirnya mengamalkan politik lama dan lapuk. Ada juga ahli kita yang berusia 70 dan 80 tahun tetapi membawa politik baharu, sebab itu kita gabungkan semua ini di bawah kerangka Muda," katanya.