Lelaki hilang lebih 24 jam ditemukan terapung di sungai

Mayat seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemukan terapung di Sungai Belat, berhampiran Kampung Seri Damai di sini, pada Sabtu selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam. - Gambar hiasan
Mayat seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemukan terapung di Sungai Belat, berhampiran Kampung Seri Damai di sini, pada Sabtu selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemukan terapung di Sungai Belat berhampiran Kampung Seri Damai di sini, pada Sabtu selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Mohd Redzuan Mohamad, 35, didakwa keluar rumah pada 2 petang Jumaat dengan menunggang motosikal.

"Ahli keluarga mangsa mendakwa mereka mula mencarinya apabila mangsa tidak pulang selepas beberapa jam namun hanya menemukan motosikal tersebut di jambatan sekitar 6 petang semalam.

"Mayat mangsa ditemukan terapung hari ini kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal itu dijumpai sebelum dinaikkan oleh pihak bomba pada 6.20 petang," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata mayat mangsa, yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat. - Bernama

Artikel Berkaitan: