Kampung Kubang Sepat jadi tumpuan pemancing belida

Sungai Kubang Sepat menjadi tumpuan kaki pancing pada bulan Februari.
Sungai Kubang Sepat menjadi tumpuan kaki pancing pada bulan Februari.
A
A
A

KUBANG PASU - Setiap kali tiba bulan Februari, Kampung Kubang Sepat, Ayer Hitam menjadi tumpuan pemancing untuk mendapatkan ikan belida.

Seorang penduduk, Shauqee Che Halim,30 berkata, kawasan berkenaan terkenal sebagai "port" belida kerana ikan pemangsa itu akan aktif selepas pesawah melepaskan air dari sawah ke terusan utama.

"Air sawah yang dilepaskan ke Sungai Kubang Sepat membawa anak-anak ikan. Jadi, ikan belida akan ligat di sepanjang terusan ini hingga ke Jitra," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Sabtu.

Menurutnya, belida merupakan spesies ikan bersaiz besar, mempunyai bintik berdekatan ekor dan kebiasaannya dibuat pekasam oleh penduduk setempat.

"Oleh sebab itu setiap kali tiba musim belida, ramai peraih tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan ini.

"Bagi kami memancing sekadar untuk suka-suka, kadang-kadang hasil tangkapan akan dilepaskan semula ke sungai atau kami berikan kepada peraih.

"Belida sungai tidak sebesar belida tasik. Purata berat seekor ikan hanya sekitar 2 hingga 8 kilogram," katanya yang memang minat memancing.

Tambah Shauqee, dia sebelum ini terlibat menganjurkan pertandingan memancing belida di kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan acara tahunan dan mendapat sambutan pemancing dari negeri-negeri berdekatan. Namun sejak pandemik Covid-19, kami tunda pertandingan ini," katanya.

Mohd Nazrul Izuwan menunjukkan antara ikan belida berjaya dipancingnya di Sungai Kubang Sepat.
Mohd Nazrul Izuwan menunjukkan antara ikan belida berjaya dipancingnya di Sungai Kubang Sepat.

Sementara itu, Mohd Nazrul Izuwan Hashim,34 berkata, sebagai penduduk kampung berkenaan, dia tidak melepaskan peluang memancing ikan belida.

"Ramai kawan dari luar Kedah juga berminat memancing belida. Setiap kali bulan Februari, mereka hubungi saya dan minta bawa ke tempat memancing yang strategik," katanya.