'Sudah lima kali hantar borang mohon Bantuan Selangor Bangkit'

Norazilah (kanan) mengharapkan menerima BSB bagi menampung kerugian besar akibat banjir.
Norazilah (kanan) mengharapkan menerima BSB bagi menampung kerugian besar akibat banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun tragedi banjir melanda Selangor sudah lebih sebulan berlaku, namun masih ramai mangsa belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diumumkan kerajaan negeri.

Salah seorang mangsa banjir, Mohd Fuad Shukri, 58, dari Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini berkata, sudah lima kali borang permohonan BSB dihantar sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Mohd Fuad Shukri
Mohd Fuad Shukri



"Dalam tempoh itu sudah lima kali saya hantar borang permohonan, namun hingga kini masih belum dapat sebarang jawapan sama ada ia diproses atau tidak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Selain itu, ada juga penduduk yang secara menyindir menganggap kawasan didiaminya mereka tiada wakil rakyat dan tidak kurang juga yang menyarankan agar mereka terus tunggu di rumah wakil rakyat.

Mereka sehingga kini masih bergelut untuk memulihkan kehidupan, malah ada penduduk belum mampu untuk berbuat apa- apa bagi pembinaan semula rumah yang musnah dalam bencana itu.

Segelintir pula bergantung kepada bantuan saudara-mara dan rakan-rakan untuk meneruskan kehidupan dan keadaan menjadi lebih tertekan kepada golongan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Seorang ibu tunggal, Norazilah Mohamed Bakeri, 49, berkata, dia sangat memerlukan BSB untuk menampung kerugian yang besar akibat bencana banjir.

"Ada antara kami yang terpaksa menggadai barang kemas bagi menampung perbelanjaan harian keluarga dan itu belum mengambil kira kerosakan rumah dan kenderaan yang perlu dibaiki.

"Rata-rata mereka terpaksa berbuat demikian berikutan wang simpanan tidak mampu menampung kerugian ditanggung," katanya yang mengalami kerugian sekitar RM20,000 akibat bencana alam itu.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila permohonan mendapatkan bantuan seperti yang dijanjikan itu tidak kunjung tiba walaupun sudah lebih dari sekali mengisi borang permohonan BSB.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi ibu tunggal, Siti Mariam Johar, 61, berkata, mereka hanya mampu menunggu kerana sudah penat untuk menagih simpati kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan bantuan itu.

"Sebagai golongan ibu tunggal kami tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan anak-anak selain bekerja sambilan di rumah," katanya yang mengasuh kanak-kanak di rumahnya bagi mendapat pendapatan tambahan.

Sehubungan itu, mereka meminta agar Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dapat mengotakan janji untuk menyelesaikan agihan BSB dalam tempoh yang telah dijanjikan.

Pada Khamis, Amirudin memohon maaf susulan kelewatan penyerahan BSB kepada mangsa banjir bagi daerah Klang dan Petaling.

Amirudin berkata, kelewatan itu disebabkan terdapat tambahan permohonan yang tinggi di daerah berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mendapati terdapat permohonan dibuat lebih daripada sekali menyebabkan saringan kelulusan mengambil masa.

Klang mencatatkan bilangan 77,000 permohonan dan 30,000 daripadanya masih belum diselesaikan.

Amirudin berkata, pembayaran BSB dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung Februari ini.