Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 7,234

Selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan penularan jangkitan melebihi 5,000, kes baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 7,234 pada Jumaat. Foto hiasan
Selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan penularan jangkitan melebihi 5,000, kes baharu positif Covid-19 terus melonjak kepada 7,234 pada Jumaat. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 7,234 kes baharu positif Covid-19 pada Jumaat.

Ia sekali gus merekodkan angka tertinggi tahun ini malah juga dalam tempoh lebih tiga bulan.

Kali terakhir bilangan jangkitan baharu tertinggi direkodkan adalah pada 16 Oktober tahun lepas dengan 7,509 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menyumbang kepada 2,895,014 kes kumulatif.

Menurutnya, daripada jumlah yang dilaporkan pada Jumaat, 73 kes merupakan kategori tiga hingga lima dan 7,161 lagi kategori satu dan dua

Katanya, sebanyak 234 kes import membabitkan 92 rakyat tempatan turut direkodkan.

"Penularan dalam negara adalah 7,000 kes yang terdiri daripada 6,754 rakyat tempatan dan 246 warga asing," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seramai 118 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Artikel Berkaitan:

"KKM turut mencatatkan 5,254 kes sembuh dengan kes kumulatif 2,799,608," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 21 lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhannya 6,478.

"Sebanyak 6,132 kluster daripada jumlah itu telah tamat dan 346 masih aktif," katanya.

Sementara itu, kesemua negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) 1.0 dan ke atas kecuali Labuan kekal sifar.

Nilai Rt Perlis naik kepada 1.25 berbanding Khamis 1.24, Johor (1.20), Pulau Pinang (1.17), Kedah (1.16), Sabah (1.16), Melaka (1.14), Putrajaya (1.15), Selangor (1.13), Negeri Sembilan (1.08), Kuala Lumpur (1.05), Perak (1.09) dan Pahang (1.06).

Kelantan, Terengganu dan Sarawak masing-masing 1.04.

Nilai Rt kebangsaan adalah 1.11.