Kerajaan negeri bantu baik pulih lima rumah terbakar

Robert Ling Kui Ee (kiri) melihat kesan kebakaran membabitkan lima buah rumah penduduk di Taman Intan pada Jumaat.
Robert Ling Kui Ee (kiri) melihat kesan kebakaran membabitkan lima buah rumah penduduk di Taman Intan pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri Kedah akan menyediakan peruntukan khas membabitkan kerja-kerja baik pulih lima buah rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran di Taman Intan, di sini Rabu lalu.

Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee bagaimanapun berkata, jumlah peruntukan bergantung kepada hasil siasatan dan penilaian berhubung kerosakan yang dialami mangsa terlibat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang ingin turut serta bagi meringankan beban mangsa yang kini masih dalam suasana sambutan Tahun Baharu Cina.

"Kita faham sambutan hari kedua perayaan telah menyebabkan mangsa hilang tempat tinggal sekali gus mengakibatkan 'mood' perayaan mereka juga bertukar sedih.

"Bagi mengurangkan beban mereka, kita akan bantu dengan melihat anggaran kerosakan, jumlahnya (bantuan) akan ditentukan kemudian dan mungkin tidak sama bagi setiap rumah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat pemantauan di lokasi kebakaran pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ah Kaw berada di depan kediamannya yang turut memusnahkan perabot dibelinya dua minggu lalu dan stok pakaian jualan dalam kejadian kebakaran pada Rabu lalu.
Ah Kaw berada di depan kediamannya yang turut memusnahkan perabot dibelinya dua minggu lalu dan stok pakaian jualan dalam kejadian kebakaran pada Rabu lalu.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang warga emas, Koh Ah Kaw, 72, mengalami cedera ringan di kepala dan lengan selepas lelaki terbabit dikatakan masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan dokumen penting.

Menurut Ah Kaw, tindakan dilakukannya itu bertujuan mengambil kad pengenalan serta barangan berharga lain yang mungkin dapat diselamatkan.

"Saya nak pi ambil tetapi asap terlalu tebal dan terasa bahang panas menyebabkan saya terpaksa keluar semula melalui pintu belakang rumah tanpa sempat selamatkan apa-apa," jelasnya.

Ah Kaw yang berniaga pakaian di pasar pagi itu turut sedih kerana tidak sempat menyelamatkan stok jualan pakaian serta perabot yang baharu dibeli dua minggu lalu bagi meraikan Tahun Baharu Cina apabila kesemua barangan terbabit hangus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Ismail Mohd Zain berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina buat empat keluarga di Taman Intan di sini bertukar suram setelah rumah mereka hangus dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 12.30 tengah hari Rabu lalu.