'Tanding atau tidak boleh tanya kepimpinan pusat' - Ketua AMK

Akmal Nasrullah (depan, dua dari kanan) ketika menghadiri Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, Johor Bahru pada Khamis.
Akmal Nasrullah (depan, dua dari kanan) ketika menghadiri Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir enggan mengiakan atau menafikan sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebaliknya meminta persoalan itu diajukan terus kepada kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya hanya buat kerja seperti biasa kerana Parlimen Johor Bahru masih di bawah PKR, jadi ini memang tanggungjawab saya.

"Sama ada nama saya ada dalam senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, itu boleh tanya dengan kepimpinan pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria di sini pada Khamis.

Akmal Nasrullah mengulas spekulasi yang mendakwanya akan bertanding pada PRN Johor selepas beliau dilihat semakin aktif terlibat dalam program.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah menawarkan diri untuk bertanding, namun enggan mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang mahu ditandingi.

Mengenai senarai lengkap calon PKR yang akan bertanding, Akmal Nasrullah berkata, pucuk pimpinan parti akan memuktamad dan mengumumkannya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting berhubung PRN Johor.

"Ketika ini kita masih tunggu keputusan dibuat SPR kerana banyak khabar angin (termasuk) ada negeri lain turut goyang (situasi politik tidak stabil dan kemungkinan juga diadakan PRN)," katanya.

Menurutnya, AMK menyasarkan 30 peratus atau enam kerusi daripada 20 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRN Johor.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya, apa yang penting bukan sahaja meletakkan calon yang berpotensi tinggi untuk menang, tetapi juga mempunyai kelayakan dan ciri-ciri kepimpinan," katanya.