Penggunaan digital, teknologi majukan industri pelancongan

Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Datuk Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri pelancongan perlu menerima trend penggunaan teknologi digital yang semakin meningkat dalam perjalanan pelancong dengan memanfaatkan sumber sektor awam-swasta, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), dalam dekad akan datang, pendigitalan dalam penerbangan, pengembaraan dan pelancongan dijangka menghasilkan nilai sebanyak AS$305 bilion (RM1.2 trilion) bagi sektor berkenaan seiring dengan peningkatan keuntungan.

Ia akan turut menjana faedah bernilai AS$700 bilion (RM2.8 trilion) kepada pelanggan dan masyarakat yang lebih meluas.

"Ini bermakna, lebih tinggi pendapatan pelancongan, lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan baharu dan penambahbaikan infrastruktur yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi keseluruhannya.

"Pada masa sama ia akan turut membantu dalam mempertingkatkan kefahaman budaya dan menyatupadukan masyarakat," katanya dalam ucapan perasmian Forum Destinasi Pelancongan Dunia 2018 - Membina Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia yang Cemerlang, di sini hari ini.

Ucapan Mohamaddin disampaikan Ketua Setiausaha Motac Datuk Rashidi Hasbullah. Turut hadir Datuk Dr Abdul Aziz S A Kadir, Pengerusi Confexhub Group yang menganjur forum berkenaan.

Forum Destinasi Pelancongan Dunia selama dua hari yang sebelum ini dikenali sebagai Persidangan Bandaraya Pelancongan Global itu akan berakhir esok, dengan tumpuan forum terarah kepada perancangan, pembangunan dan pengurusan destinasi pelancongan.

Kira-kira 200 peserta dari 19 negara mengambil bahagian dalam forum itu, antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Rusia, Jepun, Jerman dan Sri Lanka. - Bernama

Artikel Berkaitan: