Gas ammonia kilang proses ayam bocor

Anggota HAZMAT membuat pemeriksaan selepas berlaku kebocoran gas ammonia di kilang terbabit.
Anggota HAZMAT membuat pemeriksaan selepas berlaku kebocoran gas ammonia di kilang terbabit.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seramai 463 pekerja sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak di sini terselamat selepas berlaku kebocoran gas ammonia di kilang terbabit pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu disedari pekerja kilang yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.

"Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau amat kuat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norazam berkata, bomba dengan pihak pengurusan kilang kemudian melakukan pemantauan menyeluruh dan menutup semua injap saluran gas tersebut.

Norazam memberitahu, semasa kejadian seramai 463 pekerja berada di kilang itu masing-masing terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita.

Beliau berkata, tindakan pengosongan segera dilakukan dan kesemua pekerja itu diarah keluar ke kawasan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semuanya dalam keadaan selamat," ujarnya.

Menurut Norazam, sehingga kini, operasi pemantauan masih giat dijalankan pihaknya di seluruh kawasan kilang berkenaan.

"Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam turut dikerah ke lokasi kejadian.

"Keadaan masih terkawal dan akan dipantau dari masa ke semasa," katanya.