Nurul Azurin harap kontrak baharu bersama Misaka United

Nurul Azurin
Nurul Azurin
A
A
A

MASA depan penjaga gol gawang skuad wanita negara Nurul Azurin Mazlan di India masih menjadi tanda tanya walaupun menampilkan aksi cemerlang bersama pasukan Misaka United FC baru-baru ini.

Nurul Azurin yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik pada saingan Liga Wanita Karnataka 2021/2022 masih menanti perkhabaran daripada Misaka United FC berhubung penyambungan kontrak baharunya.

Pemain Wanita Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2015 dan 2018 itu berkata, status kontraknya masih lagi dalam peringkat perbincangan bersama kelab itu.

“Sekarang kami masih lagi menunggu keputusan dari All India Football Federation (AIFF) sama ada Misaka United mendapat slot untuk ke Indian Women League (IWL) atau sebaliknya.

“Sekiranya Misaka United dapat ke IWL, mereka mungkin akan memanggil saya kembali,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Nurul Azurin yang sebelum ini beraksi selama dua bulan bermula Disember lepas sehingga kontraknya tamat 31 Januari lepas berjaya merekodkan empat 'clean sheet' daripada lapan perlawanan sepanjang liga itu berlangsung.

Sementara itu, pemain berusia 22 tahun itu berpuas hati dapat membuktikan Malaysia sebenarnya mempunyai pemain yang baik untuk bermain di luar negara.

“Saya rasa gembira sebab boleh letak ‘benchmark’ di mana taraf pemain Malaysia, jadi mereka (kelab luar negara) boleh meletakkan 'expectation' yang pemain tempatan ini tidak kurang hebatnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengharapkan prestasinya di India dapat membuka mata pasukan dari luar negara untuk memancing pemain Malaysia yang lain selepas ini.

Nurul Azurin sebelum ini pernah mewakili negara dalam Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, September lepas. - Bernama