BAM tidak ada masalah dengan liberalisasi badminton di Malaysia

Mohamad Norza ketika dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Mohamad Norza ketika dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai masalah dengan liberalisasi yang berlaku dalam industri sukan badminton di Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan tersebut mengambil pendekatan terbuka dan tidak statik dalam usaha mereka untuk memastikan kejayaan sukan badminton negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, bukti kejayaan model berkenaan belum dapat dilihat sama seperti yang telah dikecapi oleh BAM untuk menjadi penyumbang utama pingat negara dalam Olimpik.

“Sebab itu bila kita bercakap tentaping sama ada ‘enjin' ini boleh membuahkan hasil yang sama, ia masih belum boleh dilihat lagi.

“Namun macam saya katakan tadi, kita tidak statik. Sebab itu kita benarkan sekiranya keadaan profesional menarik minat banyak sektor swasta untuk melabur ke atas mereka (pemain) dan kuatkan sistem kelab.

“Saya tiada masalah dengan liberalisasi badminton di Malaysia kerana ia adalah baik untuk industri sukan ini,” katanya ketika mengulas mengenai model terbaik untuk memastikan kejayaan pemain badminton negara.

Beliau berkata demikian dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Mohamad Norza (kanan) ketika diwawancara dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Mohamad Norza (kanan) ketika diwawancara dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Norza turut bersetuju dengan pandangan diutarakan oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menyatakan bahawa BAM masih merupakan tempat terbaik untuk pemain badminton di Malaysia.

“Saya setuju 100 peratus tentang BAM tempat terbaik dan tidak ada sejarah lagi yang menunjukkan bila pemain bermain dekat luar, dia akan dapat kejayaan itu.

“Mungkin Zii Jia beranggapan bahawa beliau akan berjaya dan beliau harus membuktikan keputusan dibuat kedua-dua pihak ini adalah baik untuk badminton negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha meraih emas pertama negara dalam Olimpik, Mohamad Norza berkata, BAM akan berusaha untuk meningkatkan jumlah penyertaan pemain badminton negara untuk setiap acara dipertandingkan dalam sukan badminton.

“Kita masih hanya mampu hantar satu wakil bagi setiap acara. Jadi sasaran saya ialah untuk pastikan kita ada dua wakil bagi setiap acara badminton di Olimpik.

“Dengan itu, peluang dan kemungkinan untuk kita dapat emas lagi tinggi,” katanya yang turut menyatakan bahawa cabaran memperoleh emas itu akan dipikul oleh kesemua pemain berpotensi di bawah BAM dan bukan hanya Zii Jia.