Aubameyang, Arsenal berpisah secara baik

Pierre-Emerick Aubameyang
Pierre-Emerick Aubameyang
A
A
A

TEKA-TEKI status Pierre-Emerick Aubameyang bersama Arsenal terjawab apabila The Gunners mengesahkan bekas kapten itu dilepaskan atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak.

Persetujuan bersama itu secara tidak langsung membolehkan pemain Gabon tersebut menyertai kelab La Liga, Barcelona secara percuma.

Untuk rekod, penyerang berusia 32 tahun itu tidak bermain untuk Arsenal sejak Disember lalu berikutan pengendali Mikel Arteta melucutkan status kaptennya selepas pemain tersebut melakukan pelanggaran disiplin.

Aubameyang juga sebelum ini dibenarkan meninggalkan skuad Gabon dari saingan kejuaraan Piala Negara Afrika di Cameroon dan kembali bersama kelabnya untuk meneruskan pemulihan daripada Covid-19 bersama kelab selepas Persatuan Bolasepak Gabon mendapati Aubameyang mempunyai masalah kesihatan.

“Kami mendoakan yang terbaik untuk Auba bagi perjalanan karier seterusnya dan berterima kasih atas sumbangannya kepada kelab selama ini,” kata Arsenal dalam satu kenyataan di laman web.

Aubameyang menyertai Arsenal dari Borussia Dortmund empat tahun lalu, merupakan pembelian terakhir bekas pengurus Arsene Wenger.

Dia yang popular dalam kalangan penyokong The Gunners telah menjaringkan 92 gol dalam 163 perlawanan untuk kelab itu.

Antara momen pentingnya di London apabila mengetuai Arsenal merangkul kejuaraan Piala FA ke-14 pada 2020, dengan menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Chelsea 2-1, selain menjaringkan dua gol menentang Manchester City pada separuh akhir.

Artikel Berkaitan: