Dari Old Trafford ke Goodison Park

Van de Beek kini menggalas cabaran Everton.
Van de Beek kini menggalas cabaran Everton.
A
A
A

PEMAIN tengah Manchester United, Donny van de Beek menyertai Everton secara pinjaman pada tarikh akhir jendela perpindahan pemain, kata kelab Liga Perdana itu pada Isnin.

Van de Beek, yang ditandatangani United pada 2020, mendapat minit permainan terhad di Old Trafford semasa di bawah bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer dan pengendali sementara Ralf Rangnick.

Pemain Belanda itu hanya diturunkan dalam empat perlawanan liga bersama United sejak perpindahan dari kelab Belanda, Ajax Amsterdam.

Van de Beek turut dikaitkan dengan perpindahan pinjaman ke Crystal Palace kendalian Patrick Vieira, namun menjadi pemain pertama direkrut pengurus baharu Everton, Frank Lampard di Goodison Park.

"Everton merupakan sebuah kelab yang hebat kerana terdapat ramai pemain berkualiti di Goodison Park. Saya datang ke sini kerana mahu membantu kelab ini kembali digeruni dan berada di kedudukan terbaik dalam liga.

"Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan pengurus baharu Everton, dan hasilnya sangat positif. Kami mempunyai idea yang sama mengenai bola sepak, dan sejujurnya dia banyak mempengaruhi keputusan saya untuk datang ke Goodison Park.

"Saya juga teruja kerana boleh belajar banyak perkara daripadanya. Dia sebelum ini juga merupakan pemain berpengalaman sebelum menjadi pengurus," kata van de Beek.

Untuk rekod, Everton hanya melakar satu kemenangan liga sejak September sekali gus mencatat penurunan prestasi membimbangkan sehingga memaksa kelab memecat Rafa Benitez awal bulan lalu, dengan Duncan Ferguson dinamakan sebagai pengurus sementara.

Artikel Berkaitan:

Kelab Merseyside itu kini menduduki tempat ke-16 liga, empat mata di atas zon penyingkiran.

Everton akan kembali menentang Brentford dalam saingan Piala FA yang dijadualkan pada Sabtu ini.