Tiada penambahan pemain NSFC pada jendela perpindahan kedua

Negeri Sembilan FC
Negeri Sembilan FC
A
A
A

KELAB Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mengumumkan tiada penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

NSFC dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada bakat baharu skuad Piala MFL (B-23) membuktikan kebolehan pasukan.

Selain itu, NSFC juga mencapai persetujuan bersama pemain import dari Brazil, Vinicius Leonel Da Silva untuk menamatkan kontraknya lebih awal selepas menerima laporan prestasi kurang memuaskan daripada Ketua Jurulatih, K Devan.

"Pihak pengurusan NSFC sedia maklum berkenaan prestasi terkini pasukan yang kini menduduki tangga kesembilan. Sejak 2021, kelab memberikan kuasa penuh kepada ketua jurulatih untuk membuat keputusan berkenaan pemilihan pegawai teknikal dan pemain tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Pengagihan tanggungjawab yang sama juga membolehkan pasukan NSFC menduduki tempat keempat liga pada musim lepas. Pihak kelab mengakui persediaan pasukan bagi tahun ini agak lewat kerana kekangan kewangan dihadapi bagi musim 2023,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pihak kelab sedaya upaya berusaha memastikan NSFC dapat menampilkan lima pemain import walaupun pada awalnya keputusan dibuat hanya tiga pemain import sahaja.

Skuad Jang kini mempunyai empat pemain import iaitu Anselmo Arruda da Silva dari Brazil; Levy Clemen Madinda dari Gabon (pemain tengah); Mark Herold Goulon dari Perancis (pertahanan) dan Muhammad Safuwan Baharudin dari Singapura (pertahanan).

Setelah mengharungi 14 perlawanan saingan liga musim ini, NSFC menghuni tangga kesembilan dengan 18 mata. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!