MAEPS akhirnya ditutup selepas 14 bulan beroperasi

Suasana di dalam MAEPS yang kini lengang dijangka ditutup sepenuhnya dalam masa terdekat.
Suasana di dalam MAEPS yang kini lengang dijangka ditutup sepenuhnya dalam masa terdekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah 14 bulan beroperasi, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dijangka ditutup sepenuhnya dalam masa terdekat.

Berdasarkan perkongsian ciapan di Twittter oleh Dr Azman Abdullah yang dipercayai seorang kakitangan kesihatan yang berkhidmat di MAEPS, kumpulan terakhir yang menerima rawatan di pusat itu telah dibenarkan keluar pada Ahad.

“MAEPS telah mengeluarkan kumpulan pesakit terakhirnya semalam. MAEPS 2.0 telah menjaga 166,072 pesakit Covid-19 sepanjang 14 bulan, meringankan beban hospital di Semenanjung Malaysia.

“Satu penghormatan untuk berkhidmat di sini selama tiga bulan dan pada hari terakhirnya,” ciapnya.

Jelas Dr Azman, semua kakitangan di MAEPS juga akan kembali ke pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing iaitu hospital di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Tambahnya, Selangor akan membuka dua PKRC (pusat kuarantin) yang lebih kecil supaya beberapa kakitangan dan aset akan dapat dihantar ke sana.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang berkhidmat di MAEPS, termasuk petugas perubatan, petugas keselamatan, petugas sanitasi sehinggalah penyedia makanan.

Dr Azman turut berkongsi beberapa keping gambar di pusat berkenaan yang kini lengang.

Artikel Berkaitan:

"Semua pesakit yang dimasukkan di MAEPS akan lalu MAEPS Staging Area (MSA) ini. Di sini dibuat saringan pertama, kami tentukan pesakit dalam kategori 1, 2, 3 atau 4.

"Awalnya, MSA ditempatkan di Maeps Amphitheatre di luar. Sejak Mei 2021 ia berpindah ke Dewan B, tempat 'indoor' berhawa dingin," katanya.

MAEPS sebelum ini menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah namun mula beroperasi seperti hospital sejak 24 Januari tahun lalu.