Pakai 'vest', guna lori syarikat curi kabel

Mohd Hamizi menunjukkan kabel yang dirampas hasil daripada kegiatan curi kabel yang dilakukan tujuh pekerja subkontraktor syarikat telekomunikasi di kawasan Tuaran.
Mohd Hamizi menunjukkan kabel yang dirampas hasil daripada kegiatan curi kabel yang dilakukan tujuh pekerja subkontraktor syarikat telekomunikasi di kawasan Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Taktik licik tujuh lelaki memakai 'vest' dan menaiki lori milik syarikat untuk mencuri kabel gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di sini, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, tujuh suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan selepas pihak polis menerima maklumat berhubung kegiatan kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dihantar ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

"Menurut pegawai keselamatan syarikat telekomunikasi terbabit, ketika membuat rondaan dia melihat lelaki yang tidak dikenali sedang bekerja memakai 'vest' hijau dan menaiki lori.

"Pegawai keselamatan terbabit telah menahan semua individu itu dan menghubungi pihak polis kerana curiga dengan kehadiran mereka yang melakukan kerja pemotongan kabel tembaga di kawasan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di IPD Tuaran, pada Isnin.

Mohd Hamizi menunjukkan 'vest' yang dipakai sekumpulan pekerja subkontraktor syarikat telekomunikasi ketika melakukan kerja memotong dan mencuri kabel di Tuaran.
Mohd Hamizi menunjukkan 'vest' yang dipakai sekumpulan pekerja subkontraktor syarikat telekomunikasi ketika melakukan kerja memotong dan mencuri kabel di Tuaran.

Katanya lagi, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek merupakan pekerja subkontraktor daripada sebuah syarikat yang bertanggungjawab untuk membuat kerja pemasangan kabel optik bagi syarikat telekomunikasi.

"Dalam perjanjian antara syarikat telekomunikasi dengan syarikat subkontraktor itu, hanya membuat kerja pemasangan kabel optik di kawasan yang ditetapkan iaitu di Tamparuli.

Artikel Berkaitan:

"Namun pekerja dari syarikat subkontraktor itu telah mengambil kesempatan memotong kabel tembaga di kawasan tepi jalan berdekatan sebuah sekolah di Tuaran.

"Suspek didapati telah melakukan pemotongan kabel tembaga 138.8 meter dan 51.5 meter milik syarikat telekomunikasi bernilai RM25,000," katanya.

Tambah Mohd Hamizi, semua suspek ditahan dan beberapa peralatan untuk kegiatan itu turut dirampas termasuk tangga, lori, pemotong serta kabel yang dipotong.

"Modus operandi semua suspek adalah dengan menggunakan sebuah lori milik syarikat dan berpakaian lengkap serta memakai 'vest' hijau bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk melakukan kegiatan memotong kabel dan mencurinya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sebelum itu, Mohd Hamizi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan jenayah curi kabel selain meminta pengusaha besi buruk tidak menerima barang lusuh yang meragukan.

"Ini adalah rampasan dan tangkapan pertama bagi tahun ini membabitkan kes kecurian kabel dan saya harap orang ramai tidak terlibat dalam kegiatan ini," katanya.