Taman Tema Genting SkyWorlds mula dibuka 8 Februari ini

Taman Tema Genting SkyWorlds, taman tema yang paling dinantikan di Asia Tenggara, akan mula dibuka kepada orang ramai pada 8 Februari ini.
Taman Tema Genting SkyWorlds, taman tema yang paling dinantikan di Asia Tenggara, akan mula dibuka kepada orang ramai pada 8 Februari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taman Tema Genting SkyWorlds, taman tema yang paling dinantikan di Asia Tenggara, akan mula dibuka kepada orang ramai pada 8 Februari ini.

Sebagai sebahagian daripada pembukaan awal, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun 20 peratus daripada kadar yang disiarkan untuk tempahan mulai 8 Feb hingga 31 Mac, 2022.

Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Operasi dan Strategi Perniagaan Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit berkata, taman tema yang dibina dengan pelaburan lebih US$800 juta (US$1=RM4.18) itu adalah pencetus perubahan bagi taman tarikan bertema, yang akan meletakkan Malaysia dan Pahang dalam peta pelancongan dunia.

"Taman tema ini akan menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan,” katanya.

Selepas membeli tiket secara dalam talian, pelanggan digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds Theme Park, yang boleh didapati secara percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Aplikasi tersebut bukan sahaja sebagai panduan komprehensif untuk Genting SkyWorlds, dengan maklumat masa sebenar, malah membolehkan pelanggan melayari dan menikmati pengalaman di taman itu secara maya sebelum tiba secara fizikal.

Ia akan memberi idea kepada pelanggan mengenal aktiviti yang akan dilakukan, destinasi yang ingin dituju serta cara untuk sampai ke taman tema ini.

Antara ciri lain ialah pelanggan boleh menyemak masa menunggu untuk menikmati tarikan dan pertunjukan; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mengetahui tempat makan, beli-belah, permainan dan perkhidmatan Photo Plus yang canggih.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Operasi Taman Tema Resort World Genting, Greg Pearn berkata, aplikasi itu, yang pertama bagi rantau Asia Tenggara, turut disepadukan dengan teknologi ‘Baris Giliran Maya’ (VQ) bagi taman itu.

VQ merupakan ciri pintar yang akan mengurangkan masa menunggu dalam barisan fizikal, sekali gus memberi lebih banyak kebebasan kepada pelanggan untuk melakukan apa yang diinginkan dan pada waktu yang mereka pilih.

VQ juga membolehkan pelanggan mewujudkan kumpulan untuk ramai pemegang tiket, melihat jadual acara kunjungan yang disyorkan berdasarkan keutamaan peribadi, dan menerima makluman pada masa sebenar bagi tempahan tarikan, ketersediaan dan hiburan yang mesti dilihat.

"Pembukaan taman tema semasa pandemik adalah satu cabaran, dan walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan tawaran penuh kami tersedia, pilihan tarikan yang kecil memerlukan sedikit masa untuk disiapkan, yang pasukan kami sedang berusaha untuk merealisasikannya,” katanya.

Menurut Genting Malaysia, semasa tempoh pembukaan awal taman tema itu, akses VQ dan Photo Plus akan tersedia secara percuma dengan pelanggan boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had pada kadar diskaun menerusi laman web dan aplikasi mudah alih. - Bernama