Tidak perlu tuding jari salahkan parti

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemimpin bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan dibuat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang keluar daripada parti berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Abdull Bakar Ali berkata, Mohd Izhar yang menggunakan alasan bahawa Bersatu sudah tidak mempunyai hala tuju disifatkan tidak relevan diungkapkan seorang wakil rakyat yang sebelum ini diangkat sebagai pemimpin menggunakan bendera parti tersebut.

Beliau berkata, pemimpin itu juga seharusnya tidak menunding jari atas segala permasalahan selain terus menyalahkan parti tanpa memainkan peranan sepatutnya.

“Bukankah membawa parti ke tahap yang lebih baik adalah tanggungjawab beliau (Mohd Izhar), kenapa mesti menunding jari dan menyalahkan parti sedangkan telah diberi peluang untuk mengalas tanggungjawab membantu rakyat.

“Selama memegang jawataan sebagai ADUN dan juga Exco kerajaan negeri, sejauh mana sumbangan beliau dari sudut kepartian?

“Paling utama, kenyataan untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat adalah sesuatu yang subjektif dan membuktikan beliau sendiri telah gagal memainkan peranan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Izhar sah mengumumkan penarikan diri daripada Bersatu selepas melihat parti itu beralih daripada agenda penubuhannya serta tidak mempunyai hala tuju.

Mohd Izhar yang juga Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia memaklumkan keputusannya itu juga dibuat selepas hilang kepercayaan kepada pimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdull Bakar berkata, dalam keadaan sekarang sebenarnya apa yang telah berlaku adalah disebabkan kesilapan individu itu sendiri yang gagal membawa parti ke arah lebih baik dan berstruktur.

“Kita boleh sifatkan pada dasarnya ini adalah kegagalan peribadi dan konflik peribadi terhadap pucuk pimpinan parti.

“Bersatu tidak hilang hala tuju dan penubuhan Bersatu sebenarnya semakin meyakini hati rakyat, akan tetapi apa yang saya lihat di sini kemungkinan beliau sendiri yang sudah hilang hala tuju,” katanya.