JPJ batal permit institut memandu ramai pemegang lesen terbabit nahas

Zailani Hashim (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Penyertaan Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Zon Timur kepada Mohd Rosdi Amir Mohd Sidek di Akademi Memandu Anda di Melor, Kota Bharu pada Ahad.
Zailani Hashim (dua dari kiri) menyampaikan Sijil Penyertaan Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Zon Timur kepada Mohd Rosdi Amir Mohd Sidek di Akademi Memandu Anda di Melor, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak membatalkan permit institut memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, perkara itu akan dilaksanakan menerusi perancangan untuk mewujudkan sistem kod pada lesen yang akan dapat mengenal pasti institut memandu tempat pemegang lesen memperoleh latihan pemanduan kenderaan.

Katanya, langkah itu diambil dalam usaha JPJ membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.

“Sistem kod yang akan diwujudkan ini juga adalah sebahagian daripada usaha pendigitalan sistem dan urusan berkaitan JPJ.

“Kod ini dapat mengenal pasti tempat belajar memandu pemandu yang terbabit dalam kemalangan dan sekiranya terlampau ramai dari institusi yang sama, maka permit mereka akan digantung atau dibatalkan, begitu juga sijil bagi tenaga pengajar berkait juga boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pensijilan Pengajar Institut Memandu (SPIM) Zon Timur di Akademi Memandu Anda di Melor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azhan Ab Hadi.

Mengulas lanjut, jelasnya, Jawatankuasa Perlesenan Institut Memandu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JPJ berkuasa untuk mengambil tindakan sama ada menggantung atau membatalkan permit sesebuah institusi memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang tidak berkelayakkan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi permit institut memandu, tindakan boleh diambil mengikut Kaedah 27 di bawah Kaedah-kaedah Sekolah Memandu 1992 untuk menggantung dan membatalkan permit bagi yang melanggar syarat permit.

“Kaedah 28 di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor 1992 pula bagi tindakan menggantung dan membatalkan sijil mengajar pengajar institut memandu jika guru sekolah memandu terbabit melanggar syarat, tidak berkelayakkan atau terbabit jenayah,” katanya,

Ujar beliau, sebanyak 232 institut memandu di seluruh negara dengan 10,569 pengajar institut memandu bertanggungjawab memastikan setiap calon yang mendapat latihan adalah layak memandu di jalan raya.

“Akibat pandemik, kira-kira 1,779 permohonan tertunggak bagi mengikuti kursus pengajar institut memandu dan JPJ menyasarkan 1,500 akan mengikuti khusus sepanjang tahun ini.

“Mereka akan menjalani modul 10 siri selama tiga sehingga seminggu merangkumi kursus dalam talian dan praktikal,” katanya.