Penyu Agar ditemukan lemah di Pantai Port Dickson

Penyu kadangkala mendarat untuk bertelur dan kekerapan naik ke darat bergantung kepada musim.
Penyu kadangkala mendarat untuk bertelur dan kekerapan naik ke darat bergantung kepada musim.
A
A
A

SEREMBAN - Seekor penyu agar betina dianggarkan berusia 20 tahun ditemukan terdampar dalam keadaan lemah di persisiran Pantai Tanjung Gemok, Port Dickson dekat sini pada Ahad.

Pengurus Pusat Pemuliharaan Penyu Glory Beach Resort Hishamudin Abd Manap berkata, reptilia dianggar seberat 35 kilogram itu ditemukan seorang nelayan kira-kira 11 pagi.

"Nelayan itu membawa penyu tersebut naik ke pantai kira-kira 11.30 pagi lalu memaklumkan kepada saya yang sedang berada di pantai. Ketika itu penyu itu nampak lemah mungkin kerana berada di darat.

"Saya terus hubungi Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) dan mereka minta saya melepaskan semula penyu itu ke laut, jadi kita sudah lepaskan pada 12 tengah hari,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Sementara itu, Pegawai Perikanan JPNS, Doreen Wee Siew Leen berkata, penyu kadangkala mendarat untuk tujuan bertelur dan kekerapan naik ke darat bergantung kepada musim bertelur sekitar Februari hingga Oktober.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang segera menghubungi pihak berkaitan dalam usaha memelihara hidupan itu.

"Setakat ini, dua penyu ditemukan mati di pantai Port Dickson bulan ini. Orang ramai yang menemukan penyu sama ada hidup atau mati diminta melaporkan kepada JPNS atau Pusat Ikan Hiasan Port Dickson di talian 06-6621089 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, JPNS telah melaksanakan program konservasi kepada pelbagai pihak termasuk agensi, pengurusan hotel dan orang awam dalam memastikan penyu di perairan negeri ini terus dilindungi. - Bernama

Artikel Berkaitan: