Hanya catu air di kawasan tertentu

Mukhriz (tiga, kanan) berswafoto bersama sebahagian warga Keda, seusai perhimpunan bulanan di pekarangan pejabat Keda, di Jalan Langgar.
Mukhriz (tiga, kanan) berswafoto bersama sebahagian warga Keda, seusai perhimpunan bulanan di pekarangan pejabat Keda, di Jalan Langgar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah telah melaksanakan catuan bekalan air di kawasan tertentu bagi memastikan agihan air terawat mencukupi untuk keseluruhan negeri, susulan cuaca panas melampau yang melanda negeri ini sejak bulan lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beberapa kawasan kritikal yang mengalami gangguan bekalan air sejak bulan lalu adalah Merbok, Semeling, Tanjung Dawai, Bedong, Singkir dan Gurun.

Menurutnya, walaupun beberapa kawasan lain turut dilaporkan terjejas namun sehingga kini, tiada keperluan untuk Kedah mengisytiharkan tempoh darurat.

“Kadang-kadang saya pun terasa seperti nak isytihar darurat apabila melihat keadaan itu, tetapi saya dimaklumkan, pendekatan yang kita ambil setakat ini akan dapat mengurangkan bebanan. Catuan pula bergantung kepada tempat, contohnya, kawasan yang tiada masalah bekalan air, jika boleh kita salurkan ke kawasan terjejas,” katanya, selepas hadir pada perhimpunan bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), hari ini.

Mukhriz berkata, pelbagai pendekatan diambil bagi menangani masalah terbabit, antaranya, menjalin kerjasama dengan pihak swasta.

“Ada pihak swasta tampil menawarkan Loji Rawatan Air mobile, yang boleh digerakkan ke mana-mana tempat. Cadangan awal adalah untuk menempatkan ia di Semeling kerana perlu air bersih untuk disuling dan dirawat menggunakan loji terbabit, untuk disalurkan kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, Loji Rawatan Air mobile itu akan dipasang dalam masa terdekat berdasarkan keperluan sesuatu kawasan.

“Jika keadaan di Semeling sudah ada hujan, atau jumlah air meningkat atau tekanan lebih baik, kita akan cari tempat lain yang bermasalah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas sama ada berlaku catuan air di Kedah berikutan bekalan air tidak mencukupi akibat fenomena cuaca panas.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mengadakan perbincangan bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam mencari beberapa penyelesaian mengatasi masalah itu.

“Untuk atasi masalah ini, kita gunakan penyelesaian jangka masa pendek dahulu, kerana untuk jangka masa panjang ia ambil masa dan kos untuk bina loji rawatan air, termasuk baiki dan gantikan paip lama serta pam penggalak,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya maklum sudah pasti rakyat juga mahukan masalah itu diatasi segera, disebabkan itu antara pendekatan yang diambil adalah dengan menghantar 28 lori air ke Merbok, serta tambahan tangki air.

“Kita juga mendapat bantuan daripada kerajaan Persekutuan setelah perkara itu dirujuk kepada pihak terlibat. Ini termasuk bantuan lori tangki air daripada negeri-negeri seperti Perak dan Selangor, saya ucapkan terima kasih kerana membantu Kedah,” katanya.

Menurutnya, kempen penjimatan penggunaan air turut diperhebatkan dan meminta orang ramai lebih berhemah dalam penggunaan air serta elakkan pembaziran.

Sebelum ini, Kedah menerima bantuan 13 lori tangki air dari Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Pengurusan Air Selangor (AIS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membantu menyalurkan air ke kawasan terjejas.

Mengulas mengenai himpunan aman membantah masalah air oleh penduduk di Singkir Laut, Yan, semalam, Mukhriz berharap rakyat bersabar kerana kerajaan negeri sedang berusaha menangani isu berkenaan sebaik mungkin.

“Sebenarnya kita sudah tahu masalah air berlaku, tiada bantahan pun kita sudah ambil maklum dan sedang berusaha selesaikan. Harap rakyat bersabar,” katanya.