Topeng muka biasa tak sesuai

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Topeng muka biasa tidak sesuai digunakan di kawasan terkesan akibat pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, ada topeng muka berbeza yang sesuai digunakan di kawasan pencemaran.

"Kalau jaraknya jauh tapi masih dalam kawasan Johor Bahru, nak guna topeng muka biasa itu mungkin relevan.

"Topeng muka jenis biasa eloklah edar luar kawasan terkesan. Kalau dalam kawasan Pasir Gudang ini, tanya dulu dengan pihak kesihatan topeng mana yang sesuai," katanya kepada pemberita di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.

Tinjauan Sinar Harian sebelum ini mendapati orang awam yang hadir untuk mendapatkan rawatan di pusat saringan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dan Stadium Tertutup Pasir Gudang diberikan topeng muka biasa.

Dr Faizal berkata, semua pihak berkaitan perlu merujuk Jabatan Kesihatan Johor supaya mengedarkan topeng muka sesuai.

"Saya kira setakat ini pihak berwajib sudah pun maklum dan ambil tindakan sesuai cuma mungkin badan-badan lain seperti syarikat korporat, sukarelawan yang mahu membantu mengedarkan topeng muka.

"Mereka perlu tahu jenis topeng muka yang sesuai untuk lokasi tertentu dan kegunaan tertentu. Kita harap pihak terlibat dapat berhubung dengan pihak kesihatan untuk mengetahui topeng muka sesuai, nak edarkan di mana, untuk apa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap pengedaran topeng muka dijalankan lebih sistematik selepas ini.

"Ada jenis topeng muka tertentu yang mempunyai tujuan tertentu. Kita harap selepas ini pengedaran topeng muka lebih sistematik dan bersesuaian dengan lokasi serta penglibatan.

"Ada beza topeng muka untuk orang yang menjalankan kerja pembersihan dengan orang yang memerhati dan ada beza untuk orang yang terdedah secara langsung dengan orang yang terdedah tidak secara langsung," katanya.

Mengulas soal dakwaan tersebar di media sosial bahawa mangsa berisiko menghidapi penyakit kronik seperti kanser, beliau menyifatkan ia memerlukan bukti.

"Kenyataan seperti itu perlu datang daripada pakar seperti pakar toksikologi atau kerajaan.

"Apa-apa telahan perlu berdasarkan bukti dan data. Tak boleh buat kenyataan selagi tiada bukti. Dari segi perubatan pun ambil masa untuk kesan implikasi," katanya.

Beliau menasihatkan agar mana-mana pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana kesilapan yang sedikit akan memberi kesan yang besar.

Sebelum ini, tersebar dakwaan mangsa yang terkesan dengan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim berisiko menghidapi kanser dalam tempoh beberapa tahun.